Anda di sini

UTM perlu tingkatkan pembelajaran bidang teknologi: Permaisuri Johor

Advertisement
 Raja Zarith Sofiah (tengah) beramah mesra bersama peserta yang hadir sebelum berangkat pulang selepas merasmikan ‘11th Language For Specific Purposes Conference’ dan ‘10th Global Advance Business Communication Conference 2018’ di Senai, semalam. — Gambar Bernama
BERAMAH MESRA: Raja Zarith Sofiah (tengah) beramah mesra bersama peserta yang hadir sebelum berangkat pulang selepas merasmikan ‘11th Language For Specific Purposes Conference’ dan ‘10th Global Advance Business Communication Conference 2018’ di Senai, semalam. — Gambar Bernama

KULAI: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) perlu mengambil kesempatan dalam memperkenalkan dan meningkatkan lagi pembelajaran berkaitan bidang teknologi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir negara.

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah perkara itu penting bagi memastikan negara terutamanya negeri Johor dapat bertahan dan bersaing dalam Revolusi Industri Keempat (IR4).

“Sekiranya kita mahu berjaya dalam perubahan digital dan dunia keterhubungan ini, kita perlu meraih segala peluang mempelajari ilmu teknologi ini. Ini kerana terdapat keperluan mendesak dalam mengintegrasikan bidang teknologi pada peringkat pengajian tinggi bagi menyokong persekitaran pengajaran dan pembelajaran abad ke-21.

“Pengetahuan dan kemahiran abad ke-21 merangkumi pelbagai perkara antaranya cara pemikiran, pekerjaan dan gaya hidup pada masa ini,” titah baginda yang merupakan Canselor UTM pada perasmian Persidangan Antarabangsa ‘Language For Specific Purposes’ kali ke-11 dan Persidangan ‘Global Advances in Business Communication’ kali ke-10 (LSP-GABC) 2018, di sini, semalam.

Raja Zarith Sofiah bertitah bahawa cara bekerja pada zaman ini juga perlu menekankan kreativiti, inovasi, pemikiran kritikal, daya menyelesaikan masalah serta pengambilan keputusan efektif.

Baginda turut bertitah, kemahiran berkomunikasi amat penting terutamanya kemahiran interpersonal dalam bidang pekerjaan pada hari ini.

“Kita seharusnya lebih mahir berkomunikasi di dunia nyata dan bukannya di alam maya semata-mata. Kemahiran insaniah amat penting dalam perbualan terutamanya ketika menyampaikan maklumat secara efektif dan efisien,” titah baginda.

Menurut Raja Zarith Sofiah, seiring dengan perubahan alat komunikasi pada hari ini, etika komunikasi tetap harus dijaga dan dipelihara selain semua pihak harus bijak menentukan bentuk komunikasi yang sesuai digunakan di tempat kerja, atau di luar sama ada secara formal dan tidak formal. 

Sementara itu, persidangan tiga hari berkenaan bertujuan menyediakan landasan bagi ahli akademik, para pendidik, ahli teknokrat, ahli bahasa, penyelidik, pentadbir, usahawan, pengamal media dan pelajar institusi pengajian tinggi berbincang serta bertukar pendapat mengenai bidang komunikasi di Malaysia dan negara luar.

Seramai 92 pembentang kertas kerja dan 38 peserta menyertainya termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Mexico, Jepun, Indonesia, India, Arab Saudi, Belgium, Kanada, New Zealand serta Nigeria. — Bernama

Advertisement