Anda di sini

Desas-desus bakal ditangkap, pengamal media berkumpul di luar rumah Najib

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Lebih 30 pengamal media berkumpul di luar kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini berikutan desas-desus bekas perdana menteri itu akan ditahan malam tadi.

Bagaimanapun  Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika  dihubungi  menyangkal perkara itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyatakan perkara sama apabila Ketua  Pesuruhjayanya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika dihubungi berkata pihaknya tidak bercadang membuat serbuan atau  menangkap Najib pada masa ini.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan kediaman bekas perdana menteri itu masih dikawal ketat oleh pihak polis dengan balai polis bergerak ditempatkan di situ.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib berhubung penyelewengan berbilion ringgit daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu Najib  turut disiasat oleh SPRM berhubung kes SRC International Sdn Bhd, sebuah lagi syarikat yang terlibat dalam isu 1MDB. 

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini. - Bernama
 

Advertisement