Anda di sini

Sepanyol harus kekalkan falsafah

Advertisement
 Isco (kiri) dan Costa ketika beraksi dalam Piala Dunia 2018 di Rusia. — Gambar AFP
KEKALKAN FALSAFAH: Isco (kiri) dan Costa ketika beraksi dalam Piala Dunia 2018 di Rusia. — Gambar AFP

KALININGRAD, Rusia: Pemain tengah Sepanyol, Isco, percaya pasukannya harus mengekalkan falsafah yang mereka bawa ketika memenangi Piala Dunia 2010 dalam usaha untuk mencapai keputusan yang diperlukan pada perlawanan penentuan Kumpulan B menentang Maghribi hari ini.

Selepas diikat 3-3 oleh Portugal pada perlawanan pembukaan, skuad jolokan ‘La Roja’ itu menang tipis 1-0 ke atas Iran dan memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri menentang pasukan Maghribi yang hanya bermain untuk satu maruah selepas disahkan tersingkir dari saingan ke pusingan kedua.

“Kami harus mempunyai kepercayaan pada gaya permainan yang menggambarkan bola sepak kami,” kata pemain kelab Real Madrid itu.

“Kami harus bermain, melakukan banyak hantaran, mengawal bola. Jika kami melakukan hantaran dengan pantas, peluang itu akan datang.”

Sepanyol memenangi tiga kejuaraan dalam tempoh dari 2008 hingga 2012 (Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012) dengan jenama bola sepak yang dikenali sebagai “tiki taka”.

Bersama-sama rakan sepasukan di Real Madrid, Lucas Vazquez dan Marco Asensio, isco mewakili generasi baharu pemain berbakat Sepanyol untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bintang legenda Xavi, yang sudah bersara dari bola sepak.

“Ini adalah kali pertama saya dalam pertandingan besar bersama pasukan kebangsaan,” kata beliau. “Saya berasa tenang tetapi ia mudah apabila semua pemain hebat berada dalam pasukan.”

Bermain di belakang Diego Costa, Isco menggembirakan penyokong Sepanyol dengan sentuhan bijak dan visi permainan tetapi beliau tahu kedudukan mereka jauh dari sudah ditentukan.

Ketika mereka boleh melangkah ke pusingan kedua dengan keputusan seri, mereka memerlukan kemenangan dan gol lebih banyak berbanding Portugal untuk menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan B.

Jurulatih Sepanyol, Fernando Hierro, yang hanya mengisi jawatan dua hari sebelum bermulanya Piala Dunia ekoran pemecatan mengejut Julen Lopetegui, berkata pasukannya tidak akan memperkecilkan Maghribi yang masih belum mengutip sebarang mata setakat ini.

“Ini adalah Piala Dunia, dan tiada satu perlawanan pun mudah,” kata Hierro. — AFP

Advertisement