Anda di sini

Perbuatan luar batas pelancong di Masjid Kota Kinabalu diselar

Advertisement
Syot skrin rakaman video berdurasi sembilan minit yang tular di Facebook
Syot skrin rakaman video berdurasi sembilan minit yang tular di Facebook

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mengutuk tindakan di luar batas dan tidak ​​​sesuai oleh dua pelancong asing yang menari di atas tembok pagar Masjid Kota Kinabalu yang tular  di media sosial baru-baru ini.

Pembantu  Menteri Assafal Alian berkata, perbuatan pelancong asing terbabit di kawasan rumah ibadat itu sebagai tidak menghormati orang Islam serta layanan baik yang Sabah berikan kepada mereka.

Beliau menegaskan bahawa Sabah adalah sebuah negeri berbilang kaum dan agama, dan menjaga keharmonian agama adalah antara perkara asas yang Sabah pertahankan.

"Kementerian tidak akan memandang ringan isu ini, jika kita mahu terus mengembangkan industri ini.

"Walaupun insiden berkaitan pelancong seperti ini berlaku di mana-mana, tetapi kita tidak akan berdiam diri dan tanpa melakukan apa-apa tindakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Assafal berkata tindakan akan diambil terhadap pelancong terbabit apabila identiti dan kewarganegaraan mereka dikenal pasti, termasuk pengendali percutian mereka yang gagal memberikan penerangan dan memaklumkan tatacara yang betul ketika melawat ke rumah ibadat.

​​​​​Berikutan kejadian itu, pihak pengurusan masjid tersebut telah mengeluarkan larangan sementara  kepada semua pelawat warga asing.

Setiap hari, hampir  seribu pelancong melawat masjid tersebut yang merupakan satu daripada  tempat yang mesti dilawati di Kota Kinabalu.

"Kementerian akan terus mengadakan perbincangan dengan pengusaha pelancongan dan pihak berkepentingan dalam indutsri termasuklah pemilik premis tarikan pelancongan di Sabah, terutamanya di kawasan sensitif seperti bangunan agama dan rumah ibadat.

"Kami juga merancang untuk memperkenalkan had kehadiran di kawasan tarikan pelancong termasuk rumah ibadat bagi mengawal dan membolehkan aliran lancar antara pengamal dan pelancong ke kawasan berkenaan,” katanya. - BERNAMA

Advertisement