Anda di sini

Usaha bersepadu perlu bagi pastikan projek TRX berdaya maju

Advertisement
 Projek Tun Razak Exchange (TRX) akan diteruskan walaupun lebih daripada RM3 bilion dana kerajaan untuk TRX City Sdn Bhd (TRXC) telah diselewengkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Kerajaan terpaksa menyuntik pembiayaan tambahan sebanyak RM2.8 bilion bagi meneruskan projek tersebut. — Gambar Bernama
DITERUSKAN: Projek Tun Razak Exchange (TRX) akan diteruskan walaupun lebih daripada RM3 bilion dana kerajaan untuk TRX City Sdn Bhd (TRXC) telah diselewengkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Kerajaan terpaksa menyuntik pembiayaan tambahan sebanyak RM2.8 bilion bagi meneruskan projek tersebut. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Projek Tun Razak Exchange (TRX) yang diteruskan kerajaan, akan berdaya maju sekiranya kesemua pihak berkepentingan bekerjasama memastikan institusi-institusi kewangan menubuhkan ibu pejabat serantau dan pejabat-pejabatnya di situ.

Pensyarah Kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, usaha tersebut akan menjamin pelaburan berbilion ringgit di daerah kewangan itu akan dapat diperoleh semula secepat mungkin.

“Keutamaan utama adalah juga memastikan tiada ruang kosong dalam bangunan. Ini lebih sukar memandangkan Kuala Lumpur kini berdepan lebihan ruang pejabat,” katanya kepada Bernama kelmarin.

Ahmed Razman berkata kerajaan boleh memainkan peranan lebih aktif dalam menggalakkan dan membantu institusi-institusi kewangan menempatkan semula pejabat mereka di TRX menerusi penyediaan insentif seperti pelepasan cukai dan memberi kelonggaran kepada polisi penyewaan.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Kajian Perniagaan Universiti Sunway, Prof Yeah Kim Leng, berkata memandangkan tahap pembinaan projek itu yang telah mencapai kemajuan yang besar, adalah wajar untuk menimbang dengan teliti projek itu, kerana nilai projek yang telah siap didapati mengatasi kos untuk menghentikannya.

“Oleh kerana kos menyiapkan projek itu lebih rendah berbanding jumlah pampasan, wang yang dibelanjakan adalah berbaloi. Kerajaan akan memiliki aset yang produktif daripada sebaliknya membayar jumlah yang tinggi tanpa sebarang pulangan.

“Lebih penting lagi, ia mungkin menjejaskan keyakinan pelabur dan merosakkan reputasi kerajaan sekiranya projek mega seperti itu yang telah hampir siap dibiarkan terbengkalai,” katanya.

Menurut Yeah, dengan perancangan dan pengurusan yang betul, TRX berpotensi untuk berjaya menjadi hab kewangan yang mencerminkan kekukuhan industri kewangan negara.  

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi, Dr Madeline Berma juga berkongsi kebimbangan yang sama seperti Ahmed Razman sama ada TRX boleh memperoleh kadar penghunian penuh memandangkan lebihan bekalan ruang pejabat di Kuala Lumpur.

“Kerajaan perlu menyelamatkan TRX kerana ia dianggap sebagai mercu tanda ikonim kerana ia merupakan satu daripada bangunan tertinggi di bandar raya, yang berpotensi menjadi daya tarikan pelancong,” katanya.

Seorang lagi Penganalisis Ekonomi, Dr Jorah Ramlan daripada Ramlan Pointon Consultants Sdn Bhd, berkata secara keseluruhan, ia adalah keputusan yang baik daripada perspektif ekonomi kerana projek itu mempunyai tempoh penyiapan selama 15 tahun dan akan mewujudkan sekitar tiga juta peluang pekerjaan di sekitar kawasan itu.

Katanya, pada fasa pertama yang dijadualkan siap tahun ini, TRX dijangka mewujudkan sebanyak 500,000 peluang pekerjaan.

“Kos pembangunan ialah kira-kira RM40 bilion tetapi ia dijangka memperoleh pulangan sebanyak RM400 bilion menjelang 2020, 100 kali daripada kos pembangunan,” kata Jorah.

TRX akan mewujudkan peluang pekerjaan dalam segmen perhotelan, runcit serta menara  komersil dan ia akan menyumbang kepada ekonomi kerana TRX merupakan infrastruktur yang akan memacu daya saing Malaysia.

“Usaha bagi memberi nafas baharu kepada TRX amat dialu-alukan berikutan sumbangannya kepada kepada ekonomi dan merupakan satu pelaburan jangka panjang,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kabinet membuat keputusan menyiapkan projek TRX bagi mengelakkan kerugian kewangan kepada kerajaan pada masa hadapan.

Lim berkata suntikan dana sebanyak RM2.8 bilion diberikan kepada projek tersebut untuk memastikan ia siap bagi mengelakkan pembayaran pampasan sebanyak RM3.51 bilion.

“Suntikan tambahan RM2.8 bilion, selain RM3.7 bilion yang dipindahkan sebelum ini ke TRXC (TRX City Sdn Bhd), akan menjadikan jumlah pembiayaan oleh kerajaan sebanyak RM6.5 bilion. — Bernama

Advertisement