Anda di sini

Taiwan lulus rang undang-undang potong pencen veteran tentera

Advertisement
 Tsai berucap pada sidang media untuk rang                  undang-undang pencen yang baharu diluluskan di pejabat presiden di Taipei, Taiwan semalam. — Gambar AFP
SUDAH LULUS: Tsai berucap pada sidang media untuk rang undang-undang pencen yang baharu diluluskan di pejabat presiden di Taipei, Taiwan semalam. — Gambar AFP

TAIPEI: Veteran tentera Taiwan akan menyaksikan pencen mereka dipotong seawal bulan depan selepas parlimen meluluskan rang undang-undang kontroversi yang telah mencetuskan demonstrasi ganas.

Undian kelmarin menandakan kemenangan bagi Presiden Tsai Ing-wen, selepas cubaannya untuk membuat potongan pencen menyeluruh sejak beliau memegang kuasa dua tahun lalu menghadapi tentangan kuat.

Veteran kanan akan me-nyaksikan pencen bulanan mereka dipotong lebih 20 peratus dalam tempoh sedekad akan datang, selepas penurunan awal yang lebih kecil, menurut anggaran rasmi.

Kerajaan berkata veteran berpangkat lebih rendah akan menyaksikan potongan yang tidak begitu serius kepada pencen mereka.

Tsai berkata reformasi pencen adalah tugasannya yang paling penting, dan laporan rasmi memberi amaran bahawa sistem pencen yang tidak diperbaharui boleh menjadi muflis menjelang 2020.

Namun ribuan veteran dan penjawat awam lain kerap berhimpun di luar parlimen untuk membantah pemotongan itu.

Puluhan anggota polis dan pemberita cedera dalam pertelingkahan pada April lalu apabila penunjuk perasaan melontar bom asap dan menggunakan rantai untuk cuba menumbangkan pagar dan menyerbu parlimen.

Tsai berkata “krisis telah diatasi” selepas rang undang-undang berkenaan diluluskan.

“Saya menghadapi banyak kritikan sejak dua tahun lalu, dan kritikan inilah yang menyebabkan ahli politik pada masa lalu tidak bersedia atau takut untuk menjalankan reformasi pencen,” beliau menulis dalam Facebook.

“Namun saya tidak pernah ragu-ragu. Pembaharuan mesti bermula dari saya,” katanya.

Bekas leftenan-kolonel pada mulanya akan melihat pencen bulanan mereka dipotong dari Tw$70,797 (RM$8,892) kepada Tw$69,353, dan lama-kelamaan kepada Tw$56,360 selepas 10 tahun, menurut anggaran kerajaan.

Majoriti pesara sektor awam adalah penyokong parti pembangkang Kuomintang (KMT) yang melepaskan majoritinya dalam parlimen Taiwan buat pertama kali pada 2016 setelah mereka tewas dalam pilihan raya kepada Parti Progresif Demokratik (DPP) pimpinan Tsai.

Penggubal undang-undang meluluskan rang undang-undang reformasi pencen berasingan pada Jun lalu yang menyasari penjawat awam.

Kerajaan berharap kedua-dua rang undang-undang akan berkuat kuasa pada 1 Julai. — AFP

Advertisement