Anda di sini

Rumah nyaris hangus akibat longgokan peti TV

Advertisement
 Anggota bomba berusaha untuk memadam api yang membakar longgokan TV lama di sebuah rumah di Jalan Nyelong Park, Sarikei.
TERKAWAL: Anggota bomba berusaha untuk memadam api yang membakar longgokan TV lama di sebuah rumah di Jalan Nyelong Park, Sarikei.

SARIKEI: Tindakan pantas pihak bomba telah berjaya menyelamatkan sebuah rumah di kawasan Jalan Nyelong Park dekat sini, daripada musnah terbakar petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Suna Kaha berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3.18 petang.

“Ketika pasukan bomba yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Bakar Ujang tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati melibatkan longgokan peti televisyen lama yang diletakkan di bahagian belakang rumah penduduk terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada tindakan jiran mangsa yang membakar rumput tanpa pengawasan dan seterusnya merebak ke kawasan longgokan peti TV itu,” jelasnya lanjut.

“Namun demikian, kebakaran ini tidak melibatkan sebarang struktur bangunan.”

Tambah Suna, pihak bomba hanya mengambil masa 10 minit untuk mengawal dan seterusnya memadam kebakaran tersebut.

Sementara itu, dalam kes berasingan melibatkan khidmat khas, pihak bomba berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan yang berusia 16 tahun daripada menanggung sengsara setelah cincin yang tersangkut pada jari telunjuk kiri menyebabkan jari berkenaan membengkak.

“Mangsa yang datang ke balai bomba dengan ditemani bapa dan abangnya telah dibantu pasukan EMRS untuk memotong cincin keluli tersebut dengan menggunakan gergaji besi kecil.

“Usaha memotong cincin tersebut berjaya dilakukan dalam tempoh masa lima minit dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” kata Suna lagi.

  • oleh
  • Advertisement