Anda di sini

Hadiah gol buat Uruguay dari Suarez

Advertisement
 Suarez menjaringkan gol pertama Uruguay pada aksi pusingan kedua Kumpulan A menentang Arab Saudi di Rostov Arena, Rusia. — Gambar Reuters
GOL DARI PENAMPILAN KE-100: Suarez menjaringkan gol pertama Uruguay pada aksi pusingan kedua Kumpulan A menentang Arab Saudi di Rostov Arena, Rusia. — Gambar Reuters

ROSTOV-ON-DON, Rusia: Uruguay mengesahkan tempat ke pusingan kedua Piala Dunia bersama-sama pasukan tuan rumah Rusia selepas Luis Suarez menjaringkan gol tunggal kemenangan pada penampilan antarabangsa ke-100 ketika menentang Arab Saudi di sini Rabu lepas.

Uruguay akan menentang Rusia pada perlawanan terakhir Kumpulan A 25 Jun depan untuk memburu tempat selaku juara kumpulan sementara Mesir dan Arab Saudi disahkan tersingkir selepas tewas dua perlawanan berturut-turut.

Rusia dan Uruguay akan memburu bertemu dua pasukan teratas dari Kumpulan B di pusingan kedua – sama ada Portugal, Sepanyol atau Iran.

Suarez, 31, di mana dua penampilannya di Piala Dunia berakhir dengan penggantungan selepas menahan bola dengan tangan pada 2010 ketika menentang Ghana dan menggigit bahu pemain Itali, Giorgio Chiellini pada 2014, mengambil kesempatan dari kesilapan penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al-Owais untuk meletakkan Uruguay di hadapan pada pertengahan separuh masa pertama.

Skuad kendalian Oscar Tabarez mensia-siakan banyak peluang untuk menambah jaringan tetapi dengan Arab Saudi tumpul di jentera serangan, mereka tidak kelihatan mampu menjaringkan gol penyamaan.

“Rasa tanggungjawab beliau sangat hebat,” kata Tabarez ketika bercakap tentang Suarez.

Uruguay, yang melangkah ke separuh akhir pada 2010, sekarang sudah melangkah ke pusingan kalah mati untuk kali ketiga berturut-turut sementara Arab Saudi akan cuba memburu kemenangan pertama mereka di Piala Dunia sejak 1994 pada perlawanan terakhir kumpulan menentang Mesir.

Suarez bermula cemerlang dan mahu menebus prestasi buruk ketika menentang Mesir dengan cubaannya dihadang Ali Al-Bulayhi.

Arab Saudi berjaya menguasai awal permainan tetapi tidak kelihatan mencemaskan pertahanan Uruguay dan menghadiahkan gol pada minit ke-23 apabila Al-Owais – yang membuat penampilan kedua selepas menggantikan Abdullah Al-Muaiouf di pintu gol – gagal menjangka umpanan lambung Carlos Sanchez dari tepi padang, membolehkan Suarez menjaringkan gol antarabangsa ke-52 beliau.

Gol itu adalah yang keenam Suarez di Piala Dunia dan menjadikan beliau pemain Uruguay pertama menjaringkan gol dalam tiga penampilan di Piala Dunia.

“Gol itu istimewa kerana saya mahu menebus kekecewaan ketika menentang Mesir,” kata Suarez.

Uruguay memulakan separuh masa kedua dengan lebih meyakinkan dan Suarez hampir menambah jaringan apabila tendangan percuma beliau ditepis Al-Owais.

Tiga mata dan satu tempat ke pusingan kedua seharusnya sudah terjamin tetapi tandukan Sanchez melambung tinggi dari hantaran Edinson Cavani. — AFP

Advertisement