Anda di sini

Pelancongan berasaskan pendidikan diperkasa

Advertisement

KOTA KINABALU: Program pelancongan berasaskan pendidikan di Kadamaian akan terus diperkasakan melalui sokongan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, kata Menterinya, Ewon Benedick.

Beliau berkata, program itu bukan sahaja menjana sumber pendapatan tambahan kepada tabung sekolah melalui bayaran masuk pelancong, malah meningkatkan ilmu pengetahuan para pelajar dalam bidang perniagaan pelancongan.

Sehubungan itu, beliau melahirkan komitmen untuk membangunkan sektor pelancongan luar bandar bermula di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, termasuk memberi sokongan berterusan kepada program itu yang telah pun dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sayap di Kota Belud.

“Saya komited untuk terus memperkasakan program seumpama ini melalui sumbangan dan peranan KPLB termasuk memperkenalkan program baharu pelancongan luar bandar berkonsepkan Mini Estet Sejahtera (MESEJ),” katanya selepas menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Induk Edu-Tourism SK Sayap yang diketuai penyelaras program Boniface Jiran di pejabat menteri itu di sini semalam.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian berkata sebagai tanda sokongan, beliau akan melawat Kampung Sayap pada 23 Jun ini untuk mendapatkan lebih banyak input daripada komuniti mengenai aspirasi bersama bagi memajukan sektor pelancongan luar bandar.

Sementara itu, Boniface berkata program pelancongan berasaskan pendidikan di SK Sayap adalah antara produk pelancongan di bawah Pelancongan Kampung Sayap kendalian Jawatankuasa Induk Pelancongan kampung itu.

“Saya mengalu-alukan usaha KPLB memperkenalkan program MESEJ Pelancongan Luar Bandar dan saya yakin melalui program ini, Edu-Tourism SK Sayap akan terus diperkasakan lagi.

“Saya melihat perkembangan positif dalam industri pelancongan luar bandar di negeri ini akan membawa kemajuan dari sudut lain seperti jalan raya kampung,” katanya, sambil menambah usaha menaik taraf jalan kampung luar bandar akan membawa perubahan besar kepada industri pelancongan luar bandar.

Boniface berkata antara manfaat yang diperoleh daripada pelaksanaan program itu ialah pencapaian akademik murid sekolah itu yang semakin meningkat di samping meningkatkan motivasi dan keyakinan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris bersama pelancong dari luar negara. — Bernama

Advertisement