Anda di sini

Polis P.Pinang tahan lima suspek, rampas dadah bernilai RM300,000

Advertisement
 Thaiveegan (dua, kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar kawasan Ayer Itam, Jelutong dan Perai pada 10 dan 14 Jun lepas dengan nilai keseluruhan RM296,700 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, semalam. — Gambar Bernama
BARANG BUKTI: Thaiveegan (dua, kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar kawasan Ayer Itam, Jelutong dan Perai pada 10 dan 14 Jun lepas dengan nilai keseluruhan RM296,700 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan lima suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dalam tiga serbuan berasingan di sekitar negeri ini minggu lepas.

Ketua Polis negeri  Datuk A. Thaiveegan berkata, serbuan turut menyaksikan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM300,000.

Dalam serbuan pertama pada jam 12.45 tengah malam 10 Jun lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di kawasan flat di Jelutong serta merampas dadah bernilai RM26,260 yang ditemui di dalam beg silang yang dibawa suspek, katanya pada sidang media, di sini semalam.

Thaiveegan berkata, susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun berhampiran Jambatan Pulau Pinang pada jam 5 petang hari sama serta merampas dadah bernilai RM21,000.

“Tangkapan ketiga dibuat pada 14 Jun, kira-kira jam 6 petang di sebuah rumah di Air Itam, melibatkan dua lelaki dan seorang wanita berusia 36 hingga 47 tahun dan merampas dadah jenis heroin bernilai kira-kira RM249,500,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga operasi turut menyaksikan polis menyita pelbagai peralatan dipercayai untuk memproses dadah dan sebuah motosikal serta kereta yang dianggarkan bernilai RM71,600.

Katanya, bagi tempoh Januari lalu hingga kini, polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan beberapa sindiket dadah melibatkan rampasan bernilai RM13 juta.

“Kita akan mempergiatkan usaha membanteras sindiket dadah ini yang terus menjadikan negeri ini sebagai pusat operasi mereka dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya terdapat pergerakan mencurigakan berkaitan dadah di kawasan mereka,” katanya.

Sementara itu, Thaiveegan berkata polis sedang memburu seorang lelaki berusia 36 tahun yang melarikan diri ketika cuba ditahan polis di Jalan Macallum kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Terdahulu, suspek yang menaiki sebuah kereta cuba melanggar anggota peronda menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan berkenaan.

“Bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri selepas meninggalkan keretanya ketika tiba di jalan mati di Lebuh Carnavon dan hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek menemukan beberapa peralatan menghisap dadah selain sebilah parang panjang,” katanya.— Bernama

Advertisement