Anda di sini

ARSOM bantu OKU pekak dan bisu baca al-Quran dengan baik

Advertisement

NILAI: Usaha seorang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghasilkan e-pembelajaran melalui aplikasi yang dinamakan ARSOM bagi memudahkan Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu membaca al-Quran, mendapat pengiktirafan apabila meraih pingat emas dalam Ekspo Inovasi Islam (i-INOVA’ 2018) di sini baru-baru ini.

Penyelidik muda dari Fakulti Sains dan Teknologi Mohd Aqil Irwan Abdul Mutalib berkata ARSOM merupakan aplikasi Android direka khusus untuk golongan tersebut mengenal huruf hijaiyah dalam bahasa isyarat (bahasa isyarat Arab).

Beliau berkata, idea tersebut tercetus apabila beliau memahami kesusahan yang dihadapi golongan  tersebut dalam mempelajari setiap kandungan dalam al-Quran.

“Ia bermula ketika peringkat awal kajian dalam proses mengumpul maklumat melalui sesi temu bual bersama guru-guru di Akademi FAQEH, saya sempat berkomunikasi dengan seorang daripada guru yang juga merupakan komuniti pekak.

“Ketika itu saya sedar seandainya diri ini seorang yang pekak, amat susah untuk berkomunikasi dan belajar tambahan belajar membaca al-Quran maka terhasillah idea ini. Saya peka terhadap kesukaran yang dihadapi oleh komuniti pekak dan bisu untuk belajar membaca al-Quran,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Aqil Irwan berkata ARSOM berfungsi memaparkan bahasa isyarat pergerakan tangan berbentuk model 3D melalui imbasan kad abjad huruf Hijaiyah menerusi telefon pintar dan membolehkan pengguna meniru pergerakan yang dipaparkan.

“Bagaimanapun, penghasilan setiap huruf hijaiyah perlu dibuat secara teliti kerana setiap abjad memerlukan perbezaan yang terperinci supaya boleh menghasilkan suasana ‘Augmented Reality’ yang tepat bagi setiap huruf hijaiyah,” katanya.

Yakin bahawa aplikasi itu boleh diterima komuniti pekak dan bisu, Mohd Aqil Irwan berharap ARSOM juga mampu memberi manfaat kepada masyarakat normal dengan turut sama belajar bahasa isyarat.

“Ini kerana al-Quran adalah tunjang utama dalam melaksanakan solat dan memerlukan fasa pembelajaran berterusan untuk menguasainya.Saya berharap ARSOM boleh diakses serata dunia oleh komuniti pekak dan bisu sebagaimana WhatsApp dan Instagram dapat diakses serata dunia oleh kita sebagai orang normal,” katanya.

Mohd Aqil Irwan merupakan pemenang hadiah utama dalam Anugerah Inovasi Islam kategori Prasiswazah di i-INOVA’ 2018 baru-baru ini, membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta sijil dan pingat. — Bernama

Advertisement