Anda di sini

Warga emas terlantar sejak terjatuh di bilik air perlu ihsan orang ramai

Advertisement
 Norsiah hanya mampu terlantar di atas tilam dan dijaga ahli keluarganya.
TIDAK BERDAYA: Norsiah hanya mampu terlantar di atas tilam dan dijaga ahli keluarganya.

MIRI: Norsiah Anggas, 90-an, dari Lot 195A, Kampung Pujut Tanjung Batu 1B di sini, hanya mampu menahan rasa sebaik tatkala meraikan sambutan Hari Raya dalam keadaan uzur dan terlantar di atas tilam selepas terjatuh di bilik air di rumahnya, baru-baru ini.

Keadaannya menyebabkan beliau tidak mampu berdiri dan bergerak bebas seperti sebelum ini, sekali gus amat memerlukan belas ihsan orang ramai.

Menurut anaknya Idrus Kati, ibunya yang terjatuh di bilik air sejak sebulan lalu, tidak dapat bergerak dan hanya terlantar di atas tilam.

“Menurut doktor, ibu saya mengalami patah pada salah satu tulangnya dan memerlukan rawatan, menyebabkan dia tidak dapat bergerak dan terlantar di tempat tidurnya sahaja serta tidak mahu makan,” jelasnya.

Ketika ini ibunya dijaga sendiri oleh Idrus dan seorang lagi ahli keluarga mereka dengan kos penjagaan semakin bertambah kerana terpaksa menggunakan lampin pakai buang untuk orang dewasa.

“Selain menjaga kebersihan dirinya dengan membantu memandikannya, kami juga harus menyuapkannya makanan kerana ibu tidak mampu mengangkat badannya,” jelas beliau lagi.

Idrus berkata, dengan keadaan dirinya yang berpendapatan rendah serta menyara ahli keluarga yang lain, beliau amat memerlukan bantuan kewangan bagi membeli lampin pakai buang serta makanan berkhasiat dan lembut memandangkan ibunya tidak dapat mengunyah dan makan makanan keras.

Sementara itu, Utusan Borneo dimaklumkan pembantu kepada kedua-dua wakil rakyat juga sudah dimaklumkan tentang kesusahan yang dialami Idrus.

Justeru orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi  Idrus di talian 019-8250796 atau Mira (014-3196001).

Advertisement