Anda di sini

Warisan fail petisyen pilihan raya

Advertisement

Cabar keputusan empat kerusi Parlimen, empat kerusi DUN

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) memfailkan petisyen pilihan raya di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Agung Warisan Loretto S. Padua memfailkan petisyen berkenaan, di empat kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

LORETTO (dua, kanan) bersama pasukan peguam yang mewakili Warisan.
LORETTO (dua, kanan) bersama pasukan peguam yang mewakili Warisan.

"Pada hari ini (Isnin), kami baharu saja selesai memfailkan dokumen berkaitan dengan petisyen pilihan raya yang mana pada hari ini, hari terakhir," katanya.

Empat kerusi Parlimen melibatkan kawasan Kimanis, Sipitang dan Libaran masing-masing dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Anifah, Yamani Hafez Musa dan Datuk Zakaria

Edris, manakala Keningau dimenangi Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.

Empat kerusi DUN kawasan Sungai Sibuga, Kundasang, Sook dan Kiulu dimenangi  Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman, calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ellron Angin daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah dan  Datuk Joniston Bangkuai daripada PBS.

Menurutnya, isi kandungan petisyen pilihan raya berkenaan seperti yang sudah dinyatakan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini.

LORETTO memberikan sidang akhbar kepada para wartawan, setelah memfailkan petisyen pilihan raya.
LORETTO memberikan sidang akhbar kepada para wartawan, setelah memfailkan petisyen pilihan raya.

"Seperti yang dinyatakan, kebanyakkannya melibatkan politik wang, kotak undi pos dan melambat-lambatkan proses menandatangani borang 14," katanya.

Tambahnya, pasukan peguam pihak Warisan diketuai peguam Datuk Douglas Lind dan Raymond Szetu.

Sebelum ini, Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri  mengarahkan sepasukan peguam memfailkan petisyen secara serentak, kerana terdapat bukti berlakunya unsur ugutan dan penipuan pada PRU14.

  • oleh
  • Advertisement