Anda di sini

Sapura Energy temui gas ke-9 di luar pesisir Sarawak

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sapura Exploration and Production (Sarawak) Inc (Sapura E&P) berjaya menemui gas kesembilannya di luar pesisir Sarawak susulan penyelesaian kempen penggerudian 2017 dalam kawasan kontrak perkongsian pengeluaran SK408 (PSC).

Sapura Energy Bhd berkata anak syarikat milik penuhnya itu menemui takungan berkualiti tinggi di telaga eksplorasi Pepulut-1, terletak di luar pesisir Bintulu di Blok SK408, lokasi ia membangunkan medan gas bersama rakannya Sarawak Shell Bhd dan Petronas Carigali Sdn Bhd.

“Kejayaan ini adalah hasil kekuatan dan keupayaan eksplorasi kami, pasukan permukaan dan penggerudian selain kepakaran yang menyumbang kepada penemuan penting. Hasil siri kejayaan ini adalah berasaskan usaha kami dalam memahami asas-asas geologi di kawasan itu,” kata Presiden dan Ketua Pgawai Eksekutif Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin, dalam satu kenyataan.

Penemuan gas Pepulut-1 merupakan kesinambungan kejayaan eksplorasi Sapura E&P’ di kawasan berprofil tinggi SK408.

“Selari dengan strategi kami untuk memanfaatkan nilai medan gas kami dan meningkatkan ketampatan pendapatan jangka panjang perniagaan eksplorasi dan pengeluaran (E&P), kami akan memberi tumpuan ke atas usaha untuk merealisasikan potensi penuh medan gas beprospektif tinggi di SK408 dan mengukuhkan portfolio E&P kami,” kata Shahril.

Penemuan Pepulut-1 merupakan satu lagi kejayaan penting bagi Sapura Energy susulan pengumuman baru-baru ini mengenai pelan pembangunan untuk medan-medan Gorek, Larak dan Bakong sebagai fasa 1 dalam SK408 PSC.

Sapura E&P ialah operator eksplorasi bersama rakan usamanya, Petronas Carigali dan Sarawak Shell. — Bernama

Advertisement