Anda di sini

Syarat pinjaman perumahan untuk belia dikaji: Zuraida

Advertisement

NILAI: Syarat ketat pinjaman perumahan oleh bank untuk pembeli rumah kali pertama, terutama dalam kalangan belia, wajar dikaji semula, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata ketiadaan pendapatan kedua, ketidakcukupan pendapatan pasangan dan pembayaran semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi merupakan antara faktor yang menjejaskan kelulusan pinjaman.

“Saya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia bagi mengkaji bagaimana mereka (bank) boleh kurangkan sedikit (syarat) untuk pembeli rumah kali pertama, terutama dalam kalangan belia.

“Selain itu, kami juga mahu menimbang kedudukan kewangan belia memandangkan ada antara mereka mungkin tidak mempunyai wang dalam akaun bank, namun mereka mendapat sokongan kewagan ibu bapa,” kata Zuraida kepada pemberita selepas melancarkan Youth City Tower D di Vision City yang dimajukan oleh GD Development Sdn Bhd, di sini kelmarin.

Projek The Youth City merupakan sebahagian daripada pembangunan bercampur GD Development’ Vision City bernilai RM1.3 bilion yang mengandungi empat menara dengan 3,123 unit pangsapuri perkhidmatan.

Zuraida berkata beliau juga merancang mengubai suai skim ‘Smart Saver’ Selangor, dengan pasangan muda menyewa rumah milik kerajaan negeri selama dua hingga lima tahun, untuk memperkenalkannya di peringkat kebangsaan.

“Selepas tempoh itu (sewa) kerajaan negeri akan memulangkan 30 peratus daripada jumlah sewaan yang dibayar, dan dengan wang itu, pasangan bekenaan boleh menggunakannya sebagai deposit untuk rumah baharu dalam skim perumahan ‘Rumah Selangorku’.

“Kami mahu mengguna dan mengubai suainya (dasar) dan melihat sejauh mana kami dapat membantu golongan belia membeli rumah pertama mereka,” katanya.

Zuraida juga berkata kementerian itu akan memperkenalkan konsep Bandar Mesra Wanita untuk manfaat semua wanita di Malaysia, dalam tempoh terdekat.

“Walaupun konsep itu memberi tumpuan kepada wanita, penting untuk menyatakan inisiatif ini berperanan sebagai pemangkin dalam meningkatkan keselamatan, dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia,” katanya. — Bernama

Advertisement