Anda di sini

Ubah cara pemimpin selaku penghubung dengan rakyat

Advertisement
 Shafie (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima yang layak.
UBAH PIMPINAN: Shafie (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima yang layak.

SANDAKAN: Sudah sampai masanya sikap dan cara pemimpin selaku penghubung dengan rakyat diubah dalam usaha membangunkan Sabah ke satu tahap yang lebih baik, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Inilah yang dimaksudkan dengan ‘Sabah Ubah’. Wajahnya masih sama dan tidak berubah tetapi pemikiran pimpinan dan masyarakat perlu diubah kalau ingin Sabah maju.

“Kita perlu mempunyai pemikiran yang cukup jelas untuk bangunkan Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Masyarakat Sandakan Bersama Ketua Menteri di Masjid Daerah Sandakan di sini pada Sabtu.

Shafie berkata pemimpin tidak boleh hanya berpegang pada cara dan kaedah memimpin yang dahulu.

Dalam masa sama, rakyat juga tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada wakil-wakil rakyat dalam mendapatkan bantuan.

“Gaji wakil rakyat tidak besar, cuma RM5,000 sahaja. Tetapi kalau dengan gaji ini, mereka perlu membantu rakyat termasuklah membayar bil-bil elektrik, sebab itulah wujudnya tabiat korupsi dan mengaut projek-projek dalam kalangan pemimpin.

“Oleh itu, kita tidak mahu wakil-wakil rakyat hanya mengutamakan kepentingan rakyat, sebaliknya perlu ada keseimbangan di antara pemimpin yang bertanggungjawab dan rakyat juga perlu memberi kerjasama.

“Kita tidak boleh menjadi seorang insan yang hanya bergantung kepada bantuan sepanjang hidup. Sebaliknya, kita perlu ‘excel in our life’ kerana kita memang boleh bersaing untuk mencari nafkah hidup,” jelasnya.

Pada majlis berkenaan, Shafie turut menyampaikan bantuan Pusat Zakat Sabah kepada seramai 50 penerima yang layak.

Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong Arifin Asgali, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong, Menteri Belia dan Sukan merangkap ADUN Tanjung Papat Frankie Poon serta Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap ADUN Karamunting Hiew Vui Zin.

Advertisement