Anda di sini

Pertanian dan penternakan di Bongawan akan dibangunkan

Advertisement

BONGAWAN: Bagi meningkatkan kemajuan kawasan Bongawan, Parti Warisan Sabah (Warisan) meletakkan fokus terhadap usaha-usaha bagi membangunkan ekonomi rakyat di kawasan terbabit.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Daud Yusuf berkata, bagi merealisasikan usaha itu, pihaknya akan membangunkan bidang pertanian serta penternakan.

DR Daud (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pengerusi salah sebuah surau sempena majlis berkenaan.
DR Daud (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pengerusi salah sebuah surau sempena majlis berkenaan.

Katanya, perancangan ke arah itu sedang dirangka membabitkan kerjasama pelbagai pihak termasuk kementerian beliau serta beberapa pihak lainnya.

"Buat permulaan, kita akan memajukan semula tanaman padi di kawasan ini yang sudah terbiar sejak sekian lama membabitkan keluasan sawah kira-kira 200 hektar di Kampung Luagan, di sini.
 
"Projek ini pernah aktif dan menjadi antara penjana ekonomi rakyat semasa Datuk Karim Bujang menjadi wakil rakyat Bongawan sebelum ini, namun terbiar setelah beliau tidak lagi berkhidmat sejak 2013 lalu.

"Justeru, saya akan melaksanakan semula legasi beliau ini kerana pertanian adalah salah satu inisiatif yang mampu menjana ekonomi rakyat khususnya golongan pesawah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di perkarangan tapak tamu Pekan Bongawan, baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Daud yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Bongawan berkata, bagi bidang penternakan, pihaknya akan menjadikan kawasan ini antara penyumbang produk makanan berasaskan daging.

DR Daud (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pengerusi salah sebuah masjid sempena majlis itu.
DR Daud (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pengerusi salah sebuah masjid sempena majlis itu.

Menurutnya, beliau yakin inisiatif berkenaan mampu mencapai objektifnya memandangkan beliau mempunyai kepakaran dalam bidang itu sekaligus memberi impak besar terhadap ekonomi rakyat.

"Terdapat beberapa lagi perancangan besar membabitkan kedua-dua sektor ini yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan," katanya.

Terdahulu, Dr Daud menyampaikan bantuan kewangan kepada empat buah masjid dan 27 buah surau di seluruh kawasan dalam majlis yang diadakan di Pekan Bongawan.

  • oleh
  • Advertisement