Anda di sini

DUN Sabah lulus undi percaya Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri

Advertisement
Mohd Shafie (kanan) bersama dua timbalannya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (tengah) dan Liew pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini. - Foto BERNAMA
Mohd Shafie (kanan) bersama dua timbalannya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (tengah) dan Liew pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini. - Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan sebulat suara usul undi percaya terhadap Presiden Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai ketua menteri.

Keputusan undi percaya berkenaan diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali selepas usul itu dibahaskan oleh empat anggota DUN (ADUN) pada  persidangan tersebut  yang dihadiri 43 ADUN termasuk empat ADUN dilantik.

Empat ADUN yang mengambil bahagian dalam membahaskan usul berkenaan ialah Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Phoong Jin Zhe (Luyang), Datuk Masiung Banah ( Kuamut) dan Jamawi Jaafar (Kemabong).

Usul undi percaya terhadap Mohd Shafie berkenaan dibentangkan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam, Sekitar Christina Liew dan disokong oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong.

Liew ketika membentangkan usul berkenaan berkata, pada ketika ini kerajaan yang diterajui parti Warisan itu mendapat sokongan 37 ADUN selepas lapan wakil rakyat pembangkang iaitu masing-masing empat daripada UPKO dan UMNO menyokong kerajaan pimpinan Mohd Shafie.

Katanya, sokongan bekas ADUN UMNO dan UPKO berkenaan memberi majoriti mudah kepada Warisan untuk membentuk kerajaan.

“Tahniah kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin yang  telah melaksanakan tugas beliau secara saksama mengikut kuasa TYT yang diperuntukan di bawah Artikel 6 (3) Perlembagaan Sabah memberi perkenan kepada Mohd Shafie untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada 12 Mei 2018.

“Maka adalah menjadi tanggungjawab Dewan yang mulia ini untuk menyokong usul undi percaya kepada Yang Amat Berhormat Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah untuk mengelakkan polemik ekoran tindakan sesetengah pihak yang memfailkan saman di mahkamah terhadap kesahihan (Mohd Shafie) sebagai ketua  menteri,” katanya.

Liew berkata, adalah tidak adil bagi rakyat Sabah jika polemik kepimpinan negeri itu dibiarkan berlarutan boleh kerana boleh menyebabkan kerajaan Sabah tidak stabil.

Beliau seterusnya mengajak semua ADUN agar memberi sokongan secara terbuka dan berterusan terhadap kerajaan Sabah di bawah pimpinan Mohd Shafie.

“Suara dan hasrat rakyat yang mahu berubah harus dihormati. Ketua Menteri Mohd Shafie telah berjaya mendapat mandat jelas dan kuat daripada rakyat Sabah. Sebagai balasan, di bawah pimpinan Ketua Menteri Mohd Shafie, beliau pasti akan menggembleng sepenuh tenaga beri berkhidmatan terbaik (kepada rakyat),” katanya.

Menurutnya, pemilihan Mohd Shafie sebagai ketua menteri Sabah adalah tepat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam politik dan kerajaan termasuk pernah menjadi menteri persekutuan selama sembilan tahun.

Sementara itu, Mohd Shafie dalam sidang akhbarnya selepas selesai persidangan tersebut berkata, keutamaan sekarang ialah untuk maju ke depan dan mentadbir negeri dengan lancar tanpa gangguan polemik politik ketika ini.

“Perubahan telah kita rasa dan suara rakyat pun telah kita dengar, dan inilah keputusan yang telah kita laksanakan selaras apa yang ditetapkan oleh rakyat. Jadi saya harap apa yang penting pada kita ialah mentadbir negeri dengan baik, dan semuanya bekerjasama untuk memastikan supaya rakyat dapat kita bela secepat yang mungkin dan sebaik yang boleh,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement