Anda di sini

Trump hos majlis iftar pertama di Rumah Putih

Advertisement
 Trump ketika berucap pada majlis iftar di Rumah Putih di Washington kelmarin. — Gambar AFP
IFTAR: Trump ketika berucap pada majlis iftar di Rumah Putih di Washington kelmarin. — Gambar AFP

WASHINGTON: Donald Trump mengadakan iftar pertamanya sebagai presiden Amerika Syarikat kelmarin, iaitu majlis berbuka puasa pada bulan Ramadan, bersama tetamu Muslim di Rumah Putih.

Trump, yang kerap menyampaikan retorik anti-Muslim yang menimbulkan kemarahan, melawan resam apabila beliau tidak mengadakan majlis yang sama pada tahun pertamanya sebagai presiden.

Ratusan juta Muslim me-laksanakan ibadah puasa pada bulan Ramadan, yang dijangka berakhir pada 14 Jun tahun ini.

Pada waktu subuh dan seterusnya, mereka tidak mengambil makanan dan minuman, dan berbuka puasa pada waktu senja.

Lebih 50 tetamu telah dijemput. Di meja utama, Trump duduk bersama duta Arab Saudi, Putera Khalid Ben Salman, dan duta Jordan, Dina Kawar.

Duta-duta dari Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Tunisia, Iraq, Qatar, Bahrain, Maghribi, Algeria dan Libya turut dijemput.

“Kepada setiap daripada anda dan kepada umat Muslim di seluruh dunia: Ramadan Mubarak,” kata Trump.

“Pada malam ini, kita berterima kasih di atas jalinan hubungan baharu dan kerja-sama yang kita telah meterai bersama rakan-rakan yang kita hargai dari seluruh Timur Tengah,” katanya.

Di luar Rumah Putih, sekumpulan penunjuk perasaan mempamerkan slogan dan melaungkan bantahan terhadap usaha Trump untuk melarang pendatang dari beberapa negara majoriti Muslim.

“Kami berpendapat ia adalah kemuncak hipokrasi bagi Donald Trump untuk melarang Muslim dengan sebelah tangan dan kemudian menjemput diplomat utama ke Rumah Putih dan berbuka puasa bersama mereka,” kata Bilal Askaryar.

“Ia adalah hipokrasi dan tindakannya dengan larangan Muslim dan menyebar ucapan kebencian tentang orang Muslim adalah sesuatu yang bukan sifat Amerika dan bukan sifat presiden.”

Iftar merupakan acara yang tetap dalam kalendar Rumah Putih, selain sarapan doa, ‘Passover Seder’ dan acara serupa.

Beberapa kumpulan Muslim di Amerika sebelum ini berkata mereka tidak akan menyertai majlis iftar kelmarin. — AFP

Advertisement