Anda di sini

Dasar tender terbuka beri manfaat jangka panjang: GDB

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sistem tender terbuka bagi projek pembinaan dalam sektor awam yang diperkenalkan oleh kerajaan baharu akan memberi manfaat kepada industri pembinaan pada jangka panjang, menurut firma perkhidmatan pembinaan, GDB Holdings Bhd.

Pengarah Urusan, Cheah Ham Cheia berkata langkah itu akan memupuk ketelusan dan kebertanggungjawaban yang besar dalam pemberian tender serta proses pemerolehan.

“Dasar itu juga akan membantu memastikan kertas cadangan terbaik yang sejajar dengan kepentingan awam terpilih, memandangkan ia mengambil kira elemen penting seperti pengalaman kontraktor, kemampuan kewangan serta reka bentuk dan kos projek.

“Selain itu, menerusi penggalakkan dan penguatkuasaan amalan terbaik, kami mahu menyaksikan peningkatan daya saing dalam kalangan peserta pembinaan domestik pada jangka panjang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, semalam.

Setakat 31 Mei, 2018, nilai perolehan kontrak GDB adalah sebanyak RM2.1 bilion, meningkat daripada RM1.4 bilion pada 23 April, 2018, dipacu oleh penyertaan syarikat itu dalam lebih banyak tender untuk projek bertingkat di Lembah Klang.

Jumlah tender semasa yang diperolehi GDB terdiri daripada enam projek, termasuk pembangunan bangunan komersial dan kediaman bertingkat.

Bagi masa depan, Cheah berkata, pihaknya yakin dapat memperolehi beberapa tender, disokong oleh bukti kepakaran teknikal yang dimiliki syarikat, rekod prestasi dalam menyiapkan projek bertingkat terkemuka yang lebih awal berbanding dijadualkan, serta pematuhan piawaian keselamatan dan kualiti yang ketat.

“Kami berharap untuk projek ini yang akhirnya akan meningkatkan nilai perolehan kontrak semasa kami sebanyak RM808.7 juta,” katanya. — Bernama

Advertisement