Anda di sini

Hampir 200 hilang, 75 disahkan korban letusan Fuego

Advertisement
 Penyelamat menggeledah rumah ditutupi abu untuk mencari mangsa terselamat selepas gunung berapi Fuego meletus di kampung San Miguel Los Lotes,                    di bahagian Escuintla, kira-kira 35 kilometer barat daya Guatemala kelmarin. — Gambar AFP
MISI MENYELAMAT DITERUSKAN: Penyelamat menggeledah rumah ditutupi abu untuk mencari mangsa terselamat selepas gunung berapi Fuego meletus di kampung San Miguel Los Lotes, di bahagian Escuintla, kira-kira 35 kilometer barat daya Guatemala kelmarin. — Gambar AFP

ALOTENANGO: Hampir 200 orang hilang dan sekurang-kurangnya 75 terkorban sejak gunung ber-api Fuego di Guatemala mula meletus pada hujung minggu lepas, kata pegawai kelmarin.

Tujuh komuniti dalam kawasan yang sudah musnah dipindahkan apabila aktiviti gunung tersebut meningkat, dan operasi menyelamat dihentikan.

Di bandar Escuintla, dekat puncak gunung, penduduk tempatan yang panik bergegas ke kereta mereka untuk menyelamatkan diri, menyebabkan trafik yang huru-hara.

Seorang jurugambar AFP menyaksikan awan abu besar naik ke udara, yang mendorong evakuasi bagi semua orang yang pihak berkuasa dapat temui sebelum polis, tentera dan penyelamat diarah menghentikan kerja.

Seramai 192 orang masih hilang sejak letusan pada hujung minggu lepas, kata ketua agensi bantuan bencana Sergio Cabanas kepada pemberita.

Usaha mencari mayat di kampung pergunungan yang dimusnahkan oleh letusan itu sedang berjalan dengan perlahan, kata pegawai sebelum itu, disebabkan oleh ciri permukaan bumi dan cara gunung berapi itu menge-luarkan jumlah besar lumpur menggelegak, batu dan abu yang mengalir di lereng gunung.

“Kita akan terus berusaha sehingga kita menemui mangsa terakhir, tetapi kita tidak tahu berapa ramai mereka. Kita akan memeriksa kawasan kejadian sebanyak mungkin yang perlu,” kata Cabanas kepada AFP.

Bagaimanapun, prospek menemui mangsa lain yang selamat adalah buruk, katanya.

“Jika anda terperangkap dalam aliran piroklastik, ia sukar untuk keluar daripadanya dalam keadaan masih hidup,” katanya dan menambah orang yang mungkin terperangkap dalam aliran itu mungkin tidak akan dijumpai lagi.

Antara kejadian terbaharu di antara 75 kematian yang dilaporkan oleh Institut Sains Forensik Kebangsaan adalah seorang wanita berusia 42 tahun yang meninggal dunia di hospital selepas dia kehi-langan kedua-dua belah kaki dan sebelah tangan dalam letusan yang berlaku.

Bilangan kematian sebelum ini diberikan sebagai 73. Kira-kira 46 orang cedera, kira-kira separuh daripadanya dalam keadaan serius, kata pegawai.

Gunung berapi setinggi 3,763 meter itu meletus awal Ahad lepas, dan memuntah-kan asap abu yang tinggi dan serpihan batu berapi dengan lumpur panas.

Pihak berkuasa berkata lebih 1.7 juta orang terjejas disebabkan oleh bencana itu, termasuk lebih 3,000 yang diarah dipindahkan, kebanyakannya tinggal di pusat perlindungan di Escuintla, Sacatepequez dan Chimaltenango sejak letusan Ahad lepas.

Kelajuan letusan mengejutkan penduduk tempatan, dan boleh dijelaskan kerana ia menghasilkan aliran piroklastik, iaitu pengeluaran gas dan serpihan batu yang mendadak, dan bukan lahar, kata pakar gunung berapi David Rothery dari Universiti Terbuka di Britain.

Presiden Jimmy Morales, yang telah mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari, telah melawat zon bencana.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata beliau amat sedih dengan “kehilangan nyawa yang tragis dan kerosakan signifikan yang disebabkan oleh letusan” dan PBB bersedia untuk membantu dalam usaha menyelamat dan bantuan negara. — AFP

Advertisement