Anda di sini

Rosmah selesai beri keterangan kepada SPRM

Advertisement
 Rosmah keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas selesai memberi keterangan kepada suruhanjaya itu berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
BERI KETERANGAN: Rosmah keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas selesai memberi keterangan kepada suruhanjaya itu berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor telah selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd di ibu pejabat SPRM di sini, semalam.

Rosmah, yang tiba dengan kereta Mercedes-Benz pada jam 10.43 pagi tanpa polis pengiring, dilihat meninggalkan pekarangan bangunan SPRM pada jam 3.44 petang.

Beliau yang berpakaian baju kurung berbunga berwarna biru dan bertudung merah beredar keluar tergesa-gesa dari bangunan SPRM itu tanpa mempedulikan pertanyaan puluhan wakil media yang meminta beliau memberi komen mengenai keterangannya kepada SPRM.

Sementara itu, peguam Rosmah, Datuk K. Kumaraendran berkata anak guamnya memberi kerjasama penuh dan baik ketika memberi keterangan lebih tiga jam kepada SPRM.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SRC International ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012. — Bernama

Advertisement