Anda di sini

Sepanyol kekalkan rekod tanpa kalah di bawah bimbingan Lopetegui

Advertisement
 Reaksi Lopetegui ( kanan) ketika menyaksikan pasukannya beraksi pada perlawanan persahabatan di Estadio de la Ceramica, Villarreal Ahad lepas. — Gambar Reuters
REKOD MEMBERANGSANGKAN: Reaksi Lopetegui ( kanan) ketika menyaksikan pasukannya beraksi pada perlawanan persahabatan di Estadio de la Ceramica, Villarreal Ahad lepas. — Gambar Reuters

VILA-REAL, Sepanyol: Ricardo Rodriguez mengikat kedudukan untuk Switzerland ketika pencabar kejuaraan Piala Dunia 2018, Sepanyol, diikat 1-1 di tempat sendiri pada perlawanan persediaan terakhir mereka sebelum berlepas ke Rusia, tuan rumah Piala Dunia, minggu hadapan.

Alvaro Odriozola membuka jaringan buat Sepanyol pada minit ke-29 perlawanan di sini dengan satu rembatan cantik di hujung kotak penalti pada penampilan ketiga beliau bersama Sepanyol.

Andres Iniesta menguji penjaga gol Switzerland, Yann Sommer sebelum rehat dan pemain tengah itu hampir menambah jaringan pada awal separuh masa kedua sebelum ditukarkan.

Rodriguez, pemain pertahanan kelab AC Milan, mengikat kedudukan untuk Switzerland, yang dibimbing Vladimir Petkovic, yang juga akan ke Piala Dunia, pada minit ke-60 selepas tolakan bola muntah dari jarak dekat apabila penjaga gol Sepanyol, David de Gea gagal menepis kemas rembatan Stephan Lichtsteiner.

Sommer kemudian menepis satu cubaan Rodrigo dan satu cubaan Nacho terkena palang ketika Sepanyol terus mengekalkan rekod tanpa kalah dari 19 perlawanan di bawah bimbingan Julen Lopetegui.

“Saya gembira secara peribadi untuk membantu pasukan. Kami berasa kami beraksi dengan baik dan perlawanan ini membantu kami mencari keseimbangan dalam pasukan,” kata Odriozola.

“Jika anda memberitahu bahawa saya akan menjaringkan gol untuk Sepanyol setahun setengah yang lalu, saya tidak akan mempercayainya,” kata pemain berusia 22 tahun itu yang bermain untuk pasukan simpanan Real Sociedad dalam divisyen tiga sehingga 2017.

“Itu lumrah kehidupan dan juga dalam bola sepak, ia adalah ganjaran di atas kerja-keras anda setiap hari.”

Sepanyol, juara dunia 2010, mempunyai satu lagi perlawanan persahabatan menentang Tunisia di Krasnodar sebelum memulakan kempen Piala Dunia menentang Portugal pada 15 Jun.

Mereka juga akan menentang Iran pada 20 Jun dan menamatkan kempen pusingan pertama dalam Kumpulan B menentang Maghribi lima hari kemudian. — AFP

Advertisement