Anda di sini

UPP Pujut bantu penduduk mendaftar e-Kasih

Advertisement
 Bruce (kanan) ketika sesi MAT di Pasar Nelayan Kampung Piasau Utara semalam.
PRIHATIN: Bruce (kanan) ketika sesi MAT di Pasar Nelayan Kampung Piasau Utara semalam.

MIRI: Usaha Parti Rakyat Bersatu (UPP) Cawangan Pujut membantu penduduk mendapat bantuan e-Kasih semakin mendapat sambutan. 
Pengerusinya Bruce Chai berkata, kekerapan turun padang menemui rakyat telah membuahkan hasil positif dengan ramai tampil membuat permohonan.
“Saya gembira dengan maklum balas yang diterima.
“Semua ini kesan kekerapan kami melawat dan menemui penduduk khasnya di kawasan kampung,” jelas Bruce kepada pemberita semasa program Pasukan Tindakan Bergerak (MAT) di Pasar Nelayan Kampung Piasau Utara, semalam. 
Ketika sesi MAT pada Oktober lalu, dikenal pasti faktor segelintir penduduk tidak mendaftar bantuan e-Kasih kerana tidak memiliki pengangkutan. 
UPP bertindak menyediakan perkhidmatan menghantar penduduk ke Pejabat Daerah Miri termasuk proses dokumentasi
Bruce memberitahu, seramai lebih 20 penduduk telah dibantu mendaftarkan permohonan mereka sebelum ini melibatkan penghantaran menggunakan bas secara percuma. 
Kebanyakan yang mendaftar juga adalah daripada kalangan penduduk Kampung Piasau Utara ketika beberapa sesi MAT di situ. 
Untuk sesi semalam, UPP menerima 13 permohonan baharu e-Kasih yang turut terdiri daripada golongan nelayan.
Bruce berkata, ramai pemohon berminat untuk mendapat bantuan modal perniagaan sebagai cara menambah pendapatan. 
 “E-Kasih tidak hanya bantuan duit, ia juga untuk bantuan modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan, meningkatkan taraf hidup dengan perniagaan dan keusahawanan,” jelasnya. 
Sehubungan itu, UPP akan mengendalikan sesi pendaftaran e-Kasih secara besar-besaran selepan Hari Raya Aidilfitri. 
Penganjuran sesi MAT yang berterusan setiap hujung minggu menyebabkan program semakin dikenali dan dekat dengan penduduk. 
Kerana itu juga, penduduk akan bertindak menghubungi ahli memaklumkan kes-kes yang berlaku di sekitar mereka. 
Dengan maklumat yang diterima, UPP akan menghubungi pihak berkuasa dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Advertisement