Anda di sini

Keputusan batal projek HSR sepatutnya dibuat oleh Kabinet

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keputusan membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sepatutnya dibuat secara teratur oleh Kabinet sebelum pengumumannya kerana turut memaparkan elemen tadbir urus, demikian menurut Centre For A Better Tomorrow (Cenbet).

Menurut kumpulan pemikir itu, walaupun ia menyokong usaha kerajaan baharu mengkaji semula pelaksanaan projek yang disifatkan sebagai membazir dan membabitkan urus niaga tidak telus, namun keputusan pembatalan sedemikian sepatutnya mengikut proses sewajarnya.

“Jika keputusan membabitkan projek mega RM110 bilion itu dibuat tanpa proses sewajarnya, kami bimbang ini boleh dijadikan contoh buruk dalam membuat keputusan projek kerajaan yang lainnya.

“Keputusan sedemikian penting dari sudut integriti institusi dan sepatutnya tidak boleh dikompromi bagi tujuan politik,” kata Presiden Bersama Cenbet, Gan Ping Sieu dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurut laporan media, keputusan Tun Dr Mahathir mengumumkan projek itu pada 28 Mei lepas, dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden parti dan bukan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri yang mengumumkan keputusan Kabinet.

Malah, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dipetik sebagai berkata, perkara itu juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet sebelum pengumuman pada 28 Mei.

“Pembatalan projek besar sedemikian yang membabitkan kepentingan merentasi negara, sepatutnya melalui proses membuat keputusan yang lebih tersusun. Ini termasuk menyediakan kertas Kabinet dan mendapatkan maklum balas daripada semua agensi dan kerajaan negeri berkaitan,” katanya.

Gan berkata, Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas menyatakan Kabinet adalah sebuah badan eksekutif tertinggi namun pengumuman itu sebaliknya bertentangan dengan semangat kebertanggungjawaban dan ketelusan yang diikrar oleh kerajaan baharu itu.

“Keputusan Kabinet seterusnya pada 30 Mei itu boleh dianggap tanpa rundingan atau perbincangan secukupnya,” katanya.

Beliau berkata, proses membuat keputusan secara institusi itu merupakan elemen penting tadbir urus baik yang sememangnya digalakkan oleh Cenbet.

“Semua keputusan penting negara perlu dibuat oleh Kabinet selepas melalui proses dan rundingan sewajarnya bagi mengelak penyalahgunaan kuasa serta berlakunya ketirisan,” katanya. — Bernama

Advertisement