Anda di sini

Habib Jewels jangka pertumbuhan jualan 30% dalam tempoh 3 bulan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat barang kemas tempatan, Habib Jewels Sdn Bhd, menjangka jualan meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh tiga bulan mulai kelmarin hingga 31 Ogos, 2018, sebelum pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Pengarah Urusan Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata jualan tersebut akan didorong oleh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar yang berkuat kuasa 1 Jun, 2018, yang akan mengurangkan harga produk dan meningkatkan eksport.

“Kami menjangka jualan kukuh dalam tempoh tiga bulan akan datang. Ia juga boleh meningkat sehingga 100 peratus, tetapi mungkin terdapat sedikit ketidaktentuan disebabkan pergerakan ringgit,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan SST akan dilaksanakan semula pada 1 Sept, 2018 menggantikan GST.

Susulan pengumuman itu, Meer Sadik berkata terdapat penurunan mendadak bagi harga emas, berlian, barang kemas dan Ice-Watch.

“Misalnya, harga emas 916 dilaporkan jatuh daripada RM205 segram kepada RM193 segram hari ini (kelmarin).

“Oleh itu, saya percaya lebih ramai rakyat Malaysia akan mula membeli jongkong emas dan barang kemas untuk pelaburan,” katanya.

Sempena dengan musim perayaan, katanya Habib Jewels akan menganjurkan promosi jualan ‘Bazar Ramadan’ dari 1-3 Jun.

Bagaimanapun, Meer Sadik berharap kerajaan baharu akan mengekalkan SST pada kadar sifar ke atas barang kemas berikutan ia pra GST.

“Tiada SST untuk barang kemas, tetapi apabila GST dilaksanakan, kami tertakluk kepada enam peratus,” katanya. — Bernama

Advertisement