Anda di sini

Ramai pesara guru hidup miskin

Advertisement

Isu pesara guru hidup di bawah paras kemiskinan selepas bersara perlu diteliti

SELEPAS Parti Warisan Sabah (Warisan) mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Warisan mengumumkan pewujudan empat kementerian baharu di Sabah, termasuklah Kementerian Pelajaran dan Inovasi.
   
Kementerian Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah diterajui menterinya, Datuk Dr Yusuf Yaacob (Adun Sindumin) dan dua Pembantu Menteri iaitu Mohamad Mohamarin (Adun Banggi) dan Jennifer Lasimbang (Adun Moyog) dan ketiga-tiganya dari Parti Warisan Sabah.

DR DAYU SANSALU
DR DAYU SANSALU

Wartawan Utusan Borneo, Salman Abadi mendapatkan pandangan Naib Yang Dipertua Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPPPP) Malaysia Cawangan Sabah, Datuk Dr Dayu Sansalu (DS), 68, yang juga pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu dan Tokoh Akademik yang berasal dari Sugut Beluran, Sabah tentang pelbagai harapan tinggi khasnya warga pendidik dan rakyat Sabah keseluruhannya dengan kewujudan Kementerian Pelajaran dan Inovasi di Sabah, terutama sekali isu ramai pesara guru yang hidup di bawah paras kemiskinan selepas bersara.

SALMAN ABADI (SA): Apakah pandangan, komen atau ulasan Datuk dengan penubuhan empat kementerian baharu dalam susunan Jemaah Kabinet Negeri Sabah di bawah teraju pemerintahan Parti Warisan Sabah, khasnya pewujudan Kementerian Pelajaran dan Inovasi?

DS: Tahniah dan syabas kepada Ketua Menteri Sabah YAB Datuk Seri Panglima Mohd Shafie  Apdal kerana dengan berani dan penuh yakin telah menubuhkan empat kementerian baharu dalam susunan Jemaah Kabinetnya di bawah teraju pemerintahan Parti Warisan Sabah khasnya pewujudan Kementerian Pelajaran dan Inovasi yang sebelum ini portfolio tersebut hanya diletakkan di bawah kendalian seorang  menteri sebagai Exco Pendidikan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pendidikan di Sabah.
  

Adalah diharapkan agar kementerian yang telah diwujudkan ini dapat memainkan peranan yang lebih efisien dalam usaha menaik taraf dan mengangkat martabat pendidikan di Sabah mencapai puncak kemenjadian murid bertaraf dunia.             

SA:Pada pendapat Datuk, apakah isu-isu atau perkara utama yang seharusnya diberi keutamaan untuk diambil tindakan oleh Kementerian Pelajaran dan Inovasi di Sabah,
memandangkan urusan pendidikan di Sabah sebelum ini, berada di bawah kerajaan Persekutuan / Pusat?    
 
DS: Pada pandangan saya, kementerian ini harus memberi perhatian dan keutamaan terhadap tiga perkara, seperti berikut:

1. Memastikan jalur lebar capaian internet untuk akses pelbagai ilmu pendidikan secara global dapat dipertingkatkan di sekolah-sekolah khasnya di kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau.

2. Melantik lebih ramai staf sokongan untuk membantu membuat hal-hal pengurusan dan pentadbiran di bilik darjah supaya guru-guru dapat memberi perhatian penuh khusus terhadap Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), termasuk juga di universiti, supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada rakyat di Sabah demi untuk mengurangkan jumlah pengangguran di negara ini.

3. Pendidikan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) perlu diberi perhatian seperti membina sekolah untuk mereka meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran, mengikut ketidakupayaan mereka selepas tamat persekolahan di Tingkatan 5.
 
SA: Apakah harapan Datuk dengan wujudnya sebuah Kementerian baharu di Sabah, iaitu Kementerian Pelajaran dan Inovasi dalam konteks pembangunan prasarana pendidikan
(sekolah daif) dan usaha meningkatkan lagi prestasi pendidikan di negeri Sabah, termasuklah ke arah pembangunan modal insan dan kemenjadian murid?
 
DS: Banyak pengharapan kita sandarkan kepada pihak Kementerian Pelajaran dan Inovasi di Sabah. Dalam ruangan dan kesempatan yang terbatas ini, saya ingin mengutarakan lima (5) perkara sebagai cadangan kepada kementerian ini, seperti berikut:

1. Memperkasa dan menaik taraf kemudahan infrastruktur pendidikan di luar bandar bertaraf lima bintang.

2. Mewujudkan kurikulum pertanian lestari di sekolah luar bandar serta membina maktab yang  berorientasikan pertanian lestari bagi kanak-kanak di luar bandar.

3. Memperkasa dan mengubahsuai sistem pengajaran bahasa ibunda supaya bahasa-bahasa ibunda pelbagai etnik di Sabah dapat diajar di sekolah-sekolah.     

4. Mengemaskinikan sistem dan menyediakan panduan serta mekanisma penganugerahan Tokoh Guru dan bintang-bintang serta darjah kebesaran berdasarkan kelayakan dan sumbangan mereka.

5. Memberi perhatian dan mengguna pakai pengalaman para pesara dalam usaha membantu Kementerian Pelajaran memperkasa sistem pendidikan di Sabah.

6. Memperkasa dan mengubahsuai kurikulum pengajaran di peringkat pendidikan awal kanak-kanan dari bersifat tertutup kepada kaedah yang lebih terbuka berorientasikan pemikiran dan inovasi. Contoh: A = Apple, Anggor (Buah-buahan) A: Ayam, Anjing , Arnab (binatang),  A: Ahmad, Awang Azri, Ansari (Orang) dan sebagainya.

SA:Kerajaan terdahulu telah meluluskan peruntukan RM1 bilion dalam Pembentangan Bajet 2018 untuk penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah daif di Sabah.

Sebagai pemimpin Persatuan / Kesatuan yang memperjuangkan pendidikan di Sabah, apakah harapan atau permintaan tuan terharap bajet yang telah diumumkan itu?
 

DS: Sebagai Naib Yang Di Pertua Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Sabah, saya berharap agar peruntukan kerajaan terdahulu sebanyak RM1 bilion sebagaimana yang telah diluluskan dan telah diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018 untuk penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah daif di Sabah, dapat diteruskan demi untuk keselesaan warga sekolah khasnya anak-anak didik untuk belajar dengan lebih kondusif, di samping sebagai pemangkin kemenjadian pelajar.

SA: Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah mempunyai seorang Menteri dan dua orang Pembantu Menteri (3 orang kesemuanya). Kebetulan ketiga-tiga mereka berada seorang di Utara Sabah (Banggi/Kudat), seorang di Pantai Barat (Moyog) dan menterinya berada di Selatan Sabah (Sindumin). Pada pandangan atau cadangan tuan, bagaimanakah ketiga-tiga YB ini menyelaras dan memfokuskan bidang tugas (contoh: Pendidikan Rendah, Menengah dan Tinggi) atau mengikut kawasan (DUN atau daerah) untuk mempastikan kewujudan kementerian ini benar-benar boleh memacu kemajuan pendidikan rakyat, khasnya di negeri Sabah?     

 DS: Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah khasnya kepada YB Datuk Dr Yusuf Yaacob, ADUN Sindumin yang dilantik sebagai Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah dan pembantu-pembantunya iaitu YB Mohamad Mohamarin, ADUN Banggi dan YB Jennifer Lasimbang, ADUN Moyog yang ketiga-tiganya dari Parti Warisan dengan slogan keramat ‘Sabah Ubah’.

   Saya berpendapat gandingan tiga tokoh pemimpin ini amat sesuai. Saya yakin mereka boleh merealisasikan slogan tersebut dalam aspek pendidikan dan inovasi lantaran mereka datang dari latar belakang etnik, situasi dan lokasi serta keperluan inovasi pendidikan yang berbeza iaitu kawasan bandar, luar bandar dan pulau .

   Soal bagaimanakah ketiga-tiga YB ini menyelaras dan memfokuskan bidang tugas masing-masing, mungkin kedua-dua pembantu menteri berkenaan boleh ditugaskan seorang melihat khusus bahagian pengajian tinggi (universiti dan maktab perguruan) dan seorang lagi melihat bidang Pendidikan (Prasekolah, Rendah dan Menengah) dengan bantuan Lembaga Pengurusan Universiti dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Negeri Sabah dan Cawangan di setiap Daerah.

SA: Ada apa-apa maklumat atau info tambahan yang Datuk hendak kemukakan/utarakan?.
 
DS: Terima kasih tuan Salman Abadi dan pihak akhbar Utusan Borneo. Pada kesempatan ini, saya ingin berkongsi maklumat dan realiti bahawa para pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Sabah, ramai yang tergolong sebagai rakyat berpendapatan rendah atau miskin selepas bersara iaitu berpendapatan di bawah paras kemiskinan iaitu kurang daripada RM3,000 sebulan. Ini menyebabkan keadaan hidup mereka bertambah susah selepas bersara akibat pendapatan yang sedikit dengan tanggungan yang besar.

   Hal ini juga menyebabkan bilangan rakyat miskin di Sabah semakin bertambah dari setahun ke setahun disebabkan selepas mereka bersara pendapatan mereka jatuh tergolong dalam kategori miskin.

BARISAN AJK Tertinggi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPPPP)     Malaysia Cawangan Sabah ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah     Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Hajah Maimunah Haji Suhaibul (duduk tengah) di Wisma Pendidikan JPNS baru-baru ini.
BARISAN AJK Tertinggi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPPPP) Malaysia Cawangan Sabah ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Hajah Maimunah Haji Suhaibul (duduk tengah) di Wisma Pendidikan JPNS baru-baru ini.

 Lantaran itu, saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah supaya dapat menyuarakan kepada Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mengkaji semula elaun tahunan pesara guru atau menaikkan elaun tahunan mereka dari 2 peratus (%) kepada 10 peratus dan mengkaji semula skim pencen Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia agar mereka tidak termasuk dalam kategori rakyat miskin selepas bersara kelak. Dengan demikian, kadar kemiskinan di Sabah khasnya dan negara ini amnya akan berkurangan.

   Selain itu, para remaja atau generasi Y termasuk para lepasan universiti juga mengalami kehidupan yang sengsara kini kerana selepas keluar universiti pun pendapatan mereka masih di paras kemiskinan iaitu RM3,000 ke bawah, malah ada yang menerima gaji lebih rendah daripada itu.

   Hal ini juga menyumbang kepada perangkaan bilangan rakyat miskin di Malaysia semakin bertambah. Justeru itu, saya ingin mencadangkan agar Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah dapat memohon kepada Majlis Penasihat Kerajaan amnya dan Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya supaya mengkaji semula gaji permulaan mereka ke angka RM4,000 sebulan supaya mereka boleh hidup dengan lebih selesa sebagai rakyat Malaysia yang gemilang selepas mendapat segulung ijazah dan selepas tamat pengajian di universiti, di samping dapat mengurangkan jurang kemiskinan di negara ini.

SA: Terima kasih Datuk kerana sudi ditemu bual dan memberi respon terhadap pertanyaan media (Utusan Borneo) walaupun difahamkan Datuk kurang sihat.

DS: Terima kasih kerana sudi menemuramah saya dalam ruangan ini. Ini kesempatan yang terbaik untuk meluahkan pandangan dan cadangan melalui media. Saya baru dapat membuat kerja-kerja, selepas sembuh sedikit dari menjalani pembedahan di Hospital QEH Kota Kinabalu, baru-baru ini.

  • oleh
  • Advertisement