Anda di sini

Serena kembali lakar kemenangan

Advertisement
 Serena beraksi pada perlawanan di Terbuka Perancis kelmarin. — Gambar AFP
TANGKAS: Serena beraksi pada perlawanan di Terbuka Perancis kelmarin. — Gambar AFP

PARIS, Perancis: Serena Williams kembali beraksi dengan kemenangan pada kejohanan Grand Slam Terbuka Perancis, yang akan diingati dengan pakaian ketat serba hitam Selasa lepas.

Pemain berusia 36 tahun dari Amerika Syarikat (AS) itu menewaskan Kristyna Pliskova dari Republik Czech 7-6(7/4) dan 6-4 untuk mencipta kemenangan pertama pada kejohanan Grand Slam sejak muncul juara di Terbuka Australia pada 2017.

“Saya sangat merindui Terbuka Perancis, saya rindukan saingan sengit dalam gelanggang,” kata Williams, juara di sini pada 2002, 2013 dan 2015 selepas bermain perlawanan pertama beliau di permukaan tanah liat sejak muncul naib juara di sini pada 2016 apabila tewas kepada Garbine Muguruza di stadium yang sama di Philippe Chatrier.

“Ia sudah dua tahun sejak kali terakhir saya bermain di sini. Ia bukan mudah tetapi saya sudah berlatih dengan gigih. Saya berasa selesa dan sangat gembira untuk kembali ke sini.”

Ketika Williams dengan pakaiannya mencuri perhatian, ada beberapa kemenangan lain yang mendebarkan melibatkan juara 10 kali lelaki, Rafael Nadal dan juara dua kali wanita, Maria Sharapova

Nadal mencipta kemenangan ke-80 di sini dengan menewaskan pemain dari Itali, Simone Bolelli 6-4, 6-3, dan 7-6 (11/9).

Sharapova, beraksi buat kali pertama di sini dalam tempoh tiga tahun selepas tidak beraksi pada 2016 kerana penggantungan kesalahan dadah dan pada tahun lepas apabila tidak diberikan penyertaan wildcard, bangkit dari ketinggalan 0-3 pada set terakhir sebelum menewaskan pemain kelayakan dari Belanda, Richel Hogenkamp 6-1, 4-6 dan 6-3.

Williams, pemenang 23 kejuaraan Grand Slam, tiba di Terbuka Perancis dengan hanya menang empat perlawanan sepanjang tahun ini, dengan kemenangan terakhir ialah di Miami pada bulan Mac.

Selepas berehat dari sukan tenis untuk melahirkan anak perempuan pada bulan September tahun lepas, ramai tertanya-tanya jika beliau masih mampu memberikan cabaran dalam kejohanan Grand Slam terutama sekali dengan kedudukan ranking beliau kini di tangga ke-451 dunia.

Bagaimanapun, beliau menutup mulut pengkritik dengan menewaskan Pliskova, pemain ranking ke-70 dunia.

Nadal, pemain nombor satu dunia, mendahului 2-0 tetapi ketinggalan 0-3 pada set ketiga ketika hujan menyebabkan permainan ditangguhkan pada lewat hari Isnin.

Beliau bagaimanapun mengikat kedudukan 3-3 pada hari Selasa sebelum akhirnya mengawal kembali permainan.

Nadal, yang memburu kejuaraan ke-11 di sini, akan berdepan Guido Pella dari Argentina pada pusingan seterusnya.

“Saya benar-benar dicabar hari ini tetapi ia ujian yang bagus,” kata Nadal, yang berada dalam ancaman tewas set pertama beliau di sini sejak tewas di suku akhir 2015 kepada Novak Djokovic.

Sharapova juga terselamat ancaman penyingkiran untuk menang 6-1, 4-6 dan 6-3 ke atas lawan yang berada pada ranking ke-133 dunia.

Sharapova, pilihan ke-28 kejohanan dari Rusia, akan menentang Donna Vekic dari Croatia di pusingan kedua. — AFP

Advertisement