Anda di sini

Penjualan Wembley bukan satu pengkhianatan, tegas Glenn

Advertisement
GLENN
GLENN

LONDON, England: Ketua Eksekutif Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris, Martin Glenn, berasa yakin rancangannya untuk menjual Stadium Wembley bukan satu pengkhianatan kepada bola sepak Inggeris.

Hartawan dari Amerika Syarikat (AS), Shahid Khan menawarkan anggaran 600 juta pound untuk membeli stadium kebangsaan England itu tetapi keputusan FA untuk menimbangkan bidaan tersebut menimbulkan kemarahan bulan lepas.

Wembley adalah stadium keramat bola sepak dan sukan di England dan dinaiktaraf pada 2007 selepas tujuh tahun dengan kos 757 juta pound.

Tetapi FA percaya penjualan stadium kepada Khan, pemilik kelab Fulham (England) dan Jacksonville Jaguars (bola sepak AS) itu akan menjadi perangsang besar kepada bola sepak akar umbi di England, dengan sekitar 500 juta pound akan disalurkan kepada bola sepak peringkat bawahan dalam tiga tahun pertama selepas penjualannya.

Pada mesyuarat Majlis FA di Wembley Selasa lepas, Glenn membuat penjelasan untuk memaksima potensi kewangan stadium.

“Menerima satu tawaran untuk menjual Stadium Wembley bukan satu ‘pengkhianatan’,” kata beliau dalam ucapannya.

“Ia bukan menjual ‘jiwa bola sepak’. Atau juga satu tindakan terdesak oleh organisasi yang terdesak. Kami tidak perlu menjual, tiada sebarang drama, bahasa tidak sesuai atau sebagainya.

“Apa yang kami ada di hadapan kami adalah satu peluang untuk mendapatkan jumlah pelaburan yang sangat besar dalam komuniti bola sepak.

“Ia satu peluang untuk menjadikan FA satu organisasi lebih menguntungkan pada pertambahan setiap tahun pelaburan.”

Glenn mempertahankan harga jualan yang selari dengan nilai pasaran dan juga menegaskan FA akan masih mengekalkan kawalan khas apabila stadium ini dibina.

Ia meliputi isu seperti menafikan hak menamakan semula stadium dan pilihan penjualan semula sehingga 2057, selain turut mengekalkan bahawa semua jadual perlawanan besar sukan seperti bola sepak antarabangsa dan perlawanan separuh akhir dan final Piala FA.

Bagaimanapun, tidak semua anggota majlis bersetuju dengan Brian Adshead memberitahu Sky Sports News: “Kita seharusnya mengekalkan hak pemilikan stadium.

“Kita tidak mahu menjual. Kita boleh terus meningkatkan pendapatan untuk keseluruhan sukan bola sepak dengan mempertahankan keseluruhan stadium.” — AFP

Advertisement