Anda di sini

Everton tidak sabar umum pelantikan Silva sebagai pengurus baharu

Advertisement
 Allardyce dipecat selepas enam bulan bimbing Everton. — Gambar AFP
DIPECAT: Allardyce dipecat selepas enam bulan bimbing Everton. — Gambar AFP

LONDON, England: Kelab Everton menghampiri pelantikan Marco Silva sebagai pengurus baharu dan berharap untuk mengumumkannya secara rasmi pada minggu ini.

Everton memecat Sam Allardyce awal bulan ini selepas enam bulan membimbing kelab, dengan pemilik kelab, Farhad Moshiri berminat untuk melantik pengurus yang lebih muda dan mempunyai corak permainan menarik untuk membawa pasukan ke hadapan.

Moshiri sudah lama berminat dengan Silva dan pernah cuba memujuk beliau menyertai kelab pada bulan November tahun lepas ekoran pemecatan Ronald Koeman tetapi mereka gagal bersetuju dengan pakej pampasan kepada Watford untuk melepaskan Silva dan akhirnya memilih Allardyce.

Enam bulan kemudian, Everton dijangka akhirnya mendapat pilihan pertama mereka dengan wakil Silva akan tiba di England untuk memuktamad apa yang dilaporkan perjanjian tiga tahun.

Prestasi Watford selepas Everton cuba mendapatkan Silva, menurun dengan mendadak, menyebabkan beliau dipecat oleh kelab pada bulan Januari.

Watford percaya punca cubaan Everton mendapatkan Silva secara tidak sah menyebabkan mereka menuntut pampasan tetapi Bill Kenwright dan Keith Harris, wakil dari Everton ada bertemu dengan pegawai Watford bulan lepas namun tiada pakej dipersetujui.

Watford dan Silva masih terlibat dalam proses undang-undang mereka sendiri selepas pemecatan beliau tetapi ia tidak akan menjejaskan cubaan Everton untuk mendapatkan khidmatnya.

Silva mula mencuri tumpuan apabila membimbing kelab Estoril dari hampir muflis kepada kelab yang beraksi dalam Liga Europa sebelum memenangi Piala Portugal bersama Sporting CP dan juara Greece bersama Olympiakos.

Sepanjang dua penggal dalam Liga Perdana, beliau hampir menyelamatkan Hull City dari penyingkiran dan memulakan kempen di Watford dengan memberangsangkan sebelum dipecat pada pertengahan musim. — Reuters

Advertisement