Anda di sini

12 atlet kibar cabaran boling padang

Advertisement
 Zuraidi (tunduk) memberi tips kepada atlet boling padang Sarawak yang sedang menjalani latihan di Labuan.
KONGSI ILMU: Zuraidi (tunduk) memberi tips kepada atlet boling padang Sarawak yang sedang menjalani latihan di Labuan.

KUCHING: Pasukan boling padang Sarawak dijangka mengumumkan senarai 12 atlet masing-masing enam lelaki dan enam wanita yang membawa cabaran negeri pada SUKMA Perak 2018 selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengurus pasukan, Abdillah Zain berkata, ketika ini pihaknya masih menilai prestasi 14 atlet bayangan sebelum membuat pemilihan terakhir tidak lama lagi.

Setakat ini, atlet lelaki terpilih ialah Mohd Iskandar Zulkarnain Sukardi, Abdul Rahman Aminuddin, Mohammad Amirul Hafizi Jaffar, Mohd Azhar Samara, Muhammad Ramadhan Mohamad Jeffy, Haniz Nur Hakim Mohamad Helmi dan Mohamad Fitri Afiq Jamsari.

Manakala, atlet wanita Sh Shaza Nisrina Mumtaz Wan Jemudin, Jamiah Hasbi, Nur Fitrah Rosmadi, Nur Fitri Rosmadi, Nur Fithri Aisya Hamdin, Fatin Izzati Mohamad Nizamri dan Nina Hairani Nor Mohammad.

“Kita masih dalam proses penilaian terakhir atlet dan akan mengumumkan nama 12 atlet yang akan ke Perak selepas sambutan Aidilfitri nanti.

“Ketika ini, semua 14 atlet sedang mengikuti kem latihan di Labuan dari 16 Mei hingga 8 Jun depan di bawah kendalian jurulatih, Zuraidi Puteh.

“Di sana atlet akan mengadakan latihan selain mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad MAKSAK Labuan dan SUKMA Labuan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Mengenai sasaran, Abdillah berkata pihaknya meletakkan sasaran dua pingat emas dalam acara Berempat Wanita dan Beregu Wanita.

Dalam acara berempat, harapan sekali lagi dipertaruh di bahu kuartet pemenang emas SUKMA 2016 iaitu Nur Fithri Yaani, Nur Fithri, Jamiah dan Sh Syaza Nisrina Mumtaz.

Dalam acara beregu, Sarawak sekali lagi menyandar harapan terhadap Nur Fithri dan Sh Syaza Nisrina yang merupakan pemenang gangsa SUKMA 2016 dalam acara tersebut.

SUKMA 2018 akan diadakan di Ipoh, Perak dari 12 hingga 22 September.

  • oleh
  • Advertisement