Anda di sini

11 mangsa bencana terima bantuan

Advertisement

Ringankan beban keluarga mangsa sempena Ramadan, menjelang Hari Raya Aidilfitri    

BELURAN: Sebanyak 11 keluarga mangsa bencana angin kencang yang melanda sekitar pekan Beluran baru-baru ini, menerima bantuan pihak Jabatan Kebajikan daerah ini dalam satu majlis penyerahan bantuan di pekarangan Pejabat Kebajikan dan Pejabat Daerah, di sini.
   
Pegawai Kebajikan daerah Beluran, Asmad Nasir berkata 11 keluarga terbabit menerima bantuan berupa barang makanan dan juga peralatan membaiki rumah yang mengalami kerosakan akibat bencana itu.
   
Katanya, pada peringkat awal, sejumlah enam keluarga dilaporkan menjadi mangsa bencana itu, namun jumlahnya meningkat kepada 11 keluarga selepas lima lagi keluarga tampil membuat laporan termasuk laporan polis ekoran kejadian malang itu.

 SEBAHAGIAN mangsa bencana angin kencang yang menerima bantuan bergambar   bersama wakil Pegawai Kebajikan Beluran (kanan), Benedick (tiga kiri) dan Abdullah Gani   (kiri).
SEBAHAGIAN mangsa bencana angin kencang yang menerima bantuan bergambar bersama wakil Pegawai Kebajikan Beluran (kanan), Benedick (tiga kiri) dan Abdullah Gani (kiri).

Menurutnya, daripada 11 keluarga mangsa tersebut, empat keluarga dari Kg Iran, Kg Kolapis Darat (3), Kampung Air (2) dan masing-masing satu keluarga dari Kg Buang Sayang Muanad 3 dan juga Kg Sri Menanti.
   
Majlis penyerahan bantuan disempurnakan oleh wakil Pegawai Kebajikan Beluran sambil disaksikan oleh wakil Pegawai Pegawai Daerah Beluran, Benedick Apau.  
   
Beliau berkata, kebanyakan keluarga mangsa mengalami kerosakan struktur rumah khasnya di bahagian atap/bumbung akibat diterbangkan angin kencang yang berlaku kira-kira 2.40 petang pada 22 Mei lalu.
   
Katanya, kejadian angin kencang dan hujan lebat yang berlaku pertama kali pada tahun ini  bukan sahaja menyebabkan kerosakan rumah penduduk kampung terbabit, tetapi turut menyebabkan lebih lima kes pokok tumbang.
   
“Keluarga terlibat diberikan bantuan bahan makanan seperti beras, gula dan sebagainya untuk tempoh seminggu, manakala bantuan bahan binaan iaitu atap zink antara 30 hingga 50 keping mengikut tahap kerosakan rumah,” katanya kepada Utusan Borneo.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Kolapis Darat, Abdullah Gani Abd. Wahab berkata, ia kejadian kedua seumpamanya menimpa penduduk kampung berkenaan selepas kejadian pada 1982.
 
Katanya, bencana angin ribut berserta hujan lebat itu turut melibatkan beberapa perkampungan lain termasuklah Kg Kolapis Laut, Kg Pelantong dan juga di kawasan Kg Batu 52 – 54 Ulu Muanad, Beluran.        
 
Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat (JBP) Beluran turut menerima panggilan kecemasan ekoran kejadian bencana itu khasnya melibatkan kes pokok tumbang yang menghalang lalu lintas.  
   
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Beluran, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima lebih lima panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi di kawasan Beluran.
   
Antaranya ialah di Kg Kolapis Darat, di Jalan IPD Beluran berhampiran rumah kediaman Pegawai Daerah Beluran, di Kampung Muanad 1 dan juga satu kes jeti tumbang di Kg Kolapis Laut, selain pokok tumbang yang menghalang lalu lintas di kilometer 68 Jalan Sandakan-Telupid, kira-kira jam 10.40 malam pada hari kejadian bencana angin kencang tersebut.
 
Turut mengalami kerosakan ialah panel solar hibrid di Sekolah Kebangsaan (SK) Monopod Beluran yang menyebabkan beberapa keping panel solar tercabut diterbangkan angin kencang.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangn jiwa dilaporkan ekoran tragedi bencana itu yang berlaku tatkala umat Islam sedang mengerjakan ibadah puasa Ramadan dan dijangka bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri 15 Jun depan.
Untuk rekod, bencana angin ribut melanda di kawasan pekan Beluran pada 31 Ogos dan 11 September tahun lalu (2017).
Pada 31 Ogos, kejadian angin ribut pada 6.05 petang menyebabkan 21 rumah melibatkan lebih 100 penduduk di Kg Air dan Kg Keramat Beluran mengalami pelbagai kerosakan.

PENDUDUK Kg Kolapis Laut membantu mangsa bencana mengutip kepingan atap rumah   yang tercabut diterbangkan angin kencang dan terdampar di kawasan tepi sungai.
PENDUDUK Kg Kolapis Laut membantu mangsa bencana mengutip kepingan atap rumah yang tercabut diterbangkan angin kencang dan terdampar di kawasan tepi sungai.

Turut mengalami kerosakan teruk pada bahagian struktur atap dan koridor bangunan ialah  Restoran Legend di tepi Sungai Labuk, berhampiran Pekan Beluran.
   
Ekoran tragedi itu, sambutan Hari Raya Aidiladha pada 1 September bagi penduduk terbabit menjadi suram kerana apabila rumah kediaman penduduk rosak, termasuk atap dan dinding rumah tercabut diterbangkan angin kencang.

Bencana tersebut berulang kira-kira 5.30 petang pada 11 September lalu menyebabkan 36 rumah di tiga perkampungan iaitu Kg Air, Kg Keramat dan Kg Seri Menanti, mengalami kerosakan.    

Kejadian angin ribut kali kedua dalam tempoh dua minggu itu turut menyebabkan sebuah rumah ranap dan sebuah jeti awam rosak teruk di Kg Seri Menanti, Beluran.

  • oleh
  • Advertisement