Anda di sini

Semua KK dan JKKK DUN Tanjung Batu umum keluar dari UMNO

Advertisement
 Asmadi (tengah) dan Razif (kiri Asmadi) mengumumkan keputusan mereka keluar daripada UMNO dan BN secara rasminya bermula Sabtu.
SEPAKAT: Asmadi (tengah) dan Razif (kiri Asmadi) mengumumkan keputusan mereka keluar daripada UMNO dan BN secara rasminya bermula Sabtu.

TAWAU: Semua 14 Ketua Kampung (KK) dan 14 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu sebulat suara keluar dari UMNO - Barisan Nasional (BN) secara rasmi, bermula Sabtu.
Daripada 28 pemimpin masyarakat itu, ada antara mereka yang menjawat jawatan ketua cawangan UMNO dan ada juga sebagai AJK UMNO Bahagian Kalabakan.
Pengerusi JKKK Kampung Rancangan Kalabakan Asmadi Suping berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan bersama dan mereka sepakat untuk memberikan sokongan padu kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat.
“Kami kurang yakin dengan pucuk pimpinan UMNO negeri dan pusat, malah keputusan ini menunjukkan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada datuk (Hamisa).
“Keutamaan dan kepentingan rakyat DUN Tanjung Batu yang ditunjukkan Datuk (Hamisa) menjadi titik tolak untuk kami terus berdiri teguh menyokong beliau,” katanya.
Asmadi yang juga jurucakap kumpulan berkenaan berkata mereka juga menzahirkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri dan Ketua Menteri yang baharu.
Mengulas lanjut, beliau berkata buat masa ini mereka tidak berhasrat untuk menyertai parti politik dari kem lain dalam tempoh terdekat selepas meninggalkan UMNO dan BN.
“Diharap semua pihak dapat menerima dengan terbuka (keputusan mereka keluar dari UMNO dan BN) dan terus memberikan sokongan kepada datuk (Hamisa),” katanya.
Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Mohd Razif Nizam mengakui ada parti-parti politik yang cuba mendekati sebaik khabar mereka mahu keluar UMNO mula tersebar.
Namun, Razif berkata pihaknya belum dapat membuat keputusan kerana mengambil kira banyak perkara, lebih-lebih lagi mereka terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.
“Diharap hubungan dengan parti lain (selain BN) juga tidak terjejas,” katanya, sambil mengakui mereka akan bergerak membantu perjuangan ADUN Tanjung Batu.
Menurutnya, ADUN Tanjung Batu dilihat sering kali serba salah untuk mendekati penyokong semenjak menyertai Warisan, justeru mereka mahu membantu beliau.
Justeru beliau berkata, sokongan kepada Hamisa lebih teguh apabila mereka memilih keluar daripada UMNO dan mahu bersama-sama membantu urusan khidmatnya dengan rakyat.
“Watikah pelantikan JKKK juga masih sah sehingga 2019, CDO dan Pemaju Mukim pula akan terus bekerja seperti biasa kecuali menerima surat pemecatan, jadi soal jawatan kita fikir kemudian” katanya.

Advertisement