Anda di sini

28 jenis barangan dikesan naik harga

Advertisement
 Aris (kiri) meninjau harga ikan ketika menjalankan pemeriksaan di Pasar Awam Larkin, Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama
TINJAU: Aris (kiri) meninjau harga ikan ketika menjalankan pemeriksaan di Pasar Awam Larkin, Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Harga kobis bulat import dari China dan cili hijau tempatan adalah antara 28 jenis barangan di negeri ini yang dikesan meningkat sejak operasi pemantauan harga pasaran dilakukan pihak berkuasa sejak empat hari lepas (23 Mei). 
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor Aris Mamat berkata pihaknya mengesan peningkatan harga antara empat hingga 50 peratus bagi 28 jenis barangan itu yang termasuk dalam 71 barangan yang dikategorikan di bawah pemantauan ‘Price Watch’ .
Beliau berkata hasil tinjauan itu juga berdasarkan pemantauan pihaknya yang dilakukan setiap hari ke lapan pasar awam utama di setiap daerah di negeri ini.
“Hasil tinjauan kita telah mendapati antara barangan yang mengalami kenaikan adalah kobis bulat import (dari China) dan cili hijau tempatan. Harga kobis bulat meningkat di beberapa lokasi iaitu kepada RM5 sekilogram (naik RM1 daripada harga sebelum ini) manakala cili hijau naik RM1 menjadi RM10 sekilogram.
“Namun, di sesetengah lokasi tertentu, harga bagi kedua-dua barang berkenaan menunjukkan penurunan antara 50 sen hingga RM3 iaitu daripada RM4.50 kepada RM4 bagi kobis bulat dan RM13 kepada RM10 sekilogram bagi cili hijau,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan di Pasar Awam Larkin di sini, semalam.
Sementara itu, daripada 71 barangan yang berada di bawah pemantauan, 10 jenis barangan masih mengekalkan harga yang sama, antaranya daging lembu tempatan, daging kerbau import (India), kelapa parut, santan dan telur ayam.
Selain itu, 33 jenis barangan menunjukkan penurunan harga antara 3.85 peratus hingga 41.67 peratus.
“Harga ayam bersih (standard) di beberapa pasar di negeri ini sebaliknya menurun 40 sen daripada RM8.20 kepada RM7.80 sekilogram,” tambahnya.
Aris berkata memandangkan harga barangan tertakluk kepada pasaran terbuka, beliau mengesyorkan supaya pengguna menjadi `pengguna bijak’ seperti membuat kajian sebelum membeli atau menggunakan aplikasi ‘`Price Catcher’.
“Sepanjang dua minggu lalu, tiada sebarang aduan diterima khusus mengenai kenaikan harga barang dan kita akan menjalankan siasatan dengan segera sekiranya menerima sebarang aduan mengenai peniaga menaikkan harga pada kadar tidak munasabah untuk kaut keuntungan agar tindakan boleh dibuat,” katanya.
Terdahulu, 68 anggota penguat kuasa KPDNKK Johor Bahru memeriksa 235 premis Pasar Awam Larkin dan 10 tindakan amaran dikeluarkan bagi kesalahan membabitkan tanda harga dan alat timbang sukat. — Bernama

Advertisement