Anda di sini

Misi memburu kemenangan

Advertisement
 Bobby dikawal pemain UKM FC pada saingan Liga Perdana di Stadium Negeri Kuching pada 14 April lalu.
KEMBALI BERAKSI: Bobby dikawal pemain UKM FC pada saingan Liga Perdana di Stadium Negeri Kuching pada 14 April lalu.

KUCHING: Sarawak akan mempertaruh jentera terkuat dalam misi memburu kemenangan berdepan UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, ibu negara malam ini.

Ketua Jurulatihnya, Ian Andrew Gillan berkata tiga pemain tonggak iaitu Bobby Gonzales, Milos Raickovic dan Muzaimir Hadi akan kembali memperkuat jentera serangan Sarawak bagi menghadapi skuad berstatus kelab itu.

Menurutnya, Bobby dan Milos dapat diturunkan semula selepas tamat penggantungan manakala Muzaimir bebas daripada kecederaan.

“Saya ternyata amat lega dengan kembalinya Bobby, Milos dan Muzaimir dalam skuad kita. Ketiga-tiga pemain terbabit sentiasa memainkan watak penting bagi skuad Sarawak.

“Dengan tahap kecergasan Mateo Roskam semakin baik, jentera serangan kita kembali kukuh dan bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan UKM FC.

“Kita akan cuba mendapatkan keputusan positif daripada perlawanan ini bagi memadamkan kekecewaan kekalahan pada perlawanan lalu,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Ian juga dijangka membuat sedikit rombakan terhadap skuad Sarawak dengan memberi laluan kepada pemain-pemain muda untuk mencuba nasib.

Menurutnya, pemain baharu - Gibson Billy sekali lagi diberi peluang selepas memperaga persembahan meyakinkan pada penampilan pertama menentang JDT II di tempat lawan Selasa lalu.

Selain itu, beliau juga dijangka menurunkan Abdul Rahim Abdul Razak, Azizi Ramlee, Jimmy Raymond dan Shazalee Ramli pada perlawanan malam ini.

“Ini peluang terbaik kita untuk kembali ke landasan kemenangan. Justeru, saya berharap semua pemain tidak melepaskan peluang ini dengan membawa pulang tiga mata penuh.

“Apa yang penting, sentiasa fokus dan tidak melakukan kesilapan tidak sepatutnya,” tegas jurulatih kelahiran Australia itu.

  • oleh
  • Advertisement