Anda di sini

Mercun, rokok, tembakau bernilai RM22,000 dirampas

Advertisement
 Pegawai-pegawai APMM menunjukkan barang rampasan.
TUMPAS: Pegawai-pegawai APMM menunjukkan barang rampasan.

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu menumpaskan cubaan menyeludup 24 bungkus mercun dipercayai sempena perayaan di perairan Kampung Air Puyut, di sini pada Isnin.

Ketua Zon Maritim Lahad Datu Leftenan Komander Maritim Radzil Allexender Raphael berkata turut dirampas 401 karton rokok pelbagai jenama dan 10 bungkus rokok tembakau yang dianggarkan bernilai RM22,000.

Pada kejadian itu, bot peronda APMM yang sedang menjalankan tugas rondaan di perairan berkenaan cuba mendekati sebuah bot pancung yang dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 5.50 petang.

“Apabila menyedari kehadiran bot APMM, bot suspek meluncur laju ke arah kawasan Pasar Ikan Lahad Datu dan berjaya meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan, bot peronda telah menemukan beberapa bungkusan plastik hitam yang berisi muatan rokok dan mercun pelbagai jenama,” katanya.

Kesemua barang terbabit dipercayai telah dibuang dari bot suspek semasa dikejar oleh bot peronda APMM.

Barang rampasan dibawa ke jeti Perikanan Lahad Datu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Bahan Letupan 1957.

APMM akan terus menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Lahad Datu.

Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pusat operasi Maritim Malaysia Lahad Datu 089-885727 atau di talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan.

Advertisement