Anda di sini

Harry & Meghan ucapkan terima kasih kepada tetamu perkahwinan diraja

Advertisement
__alt__
__alt__

PASANGAN diraja yang baharu berkahwin, Putera Harry dan Meghan, mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang mengambil bahagian dalam majlis perkahwinan mereka pada Sabtu lepas, manakala kediaman mereka di Kensington Palace menerbitkan tiga gambar kahwin rasmi.

“Duke dan Duchess of Sussex ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang mengambil bahagian dalam majlis perkahwinan mereka pada Sabtu lepas,” kata istana itu menyebut dalam satu kenyataan.

“Mereka rasa begitu bertuah kerana dapat berkongsi hari mereka dengan semua orang yang berhimpun di Windsor selain semua orang yang menonton perkahwinan itu menerusi televisyen di UK, Komanwel dan seluruh dunia,” katanya.

Kira-kira 100,000 orang datang untuk menyaksikan upacara berkenaan di Windsor, barat London, dan ia ditonton secara langsung di seluruh dunia, termasuk oleh 29 juta orang di Amerika Syarikat (AS) sahaja.

Pasangan diraja baharu itu berkata mereka “amat gembira” dengan potret rasmi yang diambil oleh Alexi Lubomirski dan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di atas “mesej sokongan mereka yang bermurah hati”.

Satu gambar menunjukkan pasangan itu bersama nenda Harry, Ratu Elizabeth II, suami baginda Putera Philip, dan putera mereka, Putera Charles, pewaris kepada takhta.

Dalam satu lagi gambar, pasangan pengantin baharu itu berposing dengan semua budak kundang lelaki dan pengapit perempuan yang mengambil bahagian dalam perkahwinan, termasuk Putera George, pewaris ketiga kepada takhta.

Potret ketiga menunjukkan pasangan itu bersendirian dalam hitam putih.

Sebagai anggota kerabat diraja, Meghan kini mempunyai laman sendiri dalam laman sesawang rasmi royal.uk yang memuatkan satu biografi ring-kas yang memberi tumpuan kepada sokongannya kepada kempen-kempen bagi keadilan sosial dan pemerkasaan wanita.  

“Saya bangga untuk menjadi seorang wanita dan seorang feminis,” kata Meghan, sekarang Duchess of Sussex, dalam laman tersebut.

Biografi itu menyebut bahawa dia berkempen untuk mengubah perkataan yang digunakan dalam satu iklan TV yang meng-gunakan bahasa seksis ketika dia baharu berusia 11 tahun dan bekerja secara sukarela di sebuah dapur umum di Los Angeles ketika dia remaja.

Bagaimanapun tidak banyak yang diperkatakan mengenai kariernya sebagai pelakon, termasuk wataknya sebagai pembantu peguam yang cekap Rachel Zane dalam siri drama AS ‘Suits’.

Deskripsi tentang Meghan sebagai seorang feminis yang bangga menimbulkan spekulasi media bahawa dia mungkin mencabar tradisi kerabat diraja untuk tidak melibatkan diri dalam subjek yang sensitif dari segi politik.

Akhbar The Daily Mail berkata Meghan akan “membawa kerabat diraja ke arah baharu yang menarik” tetapi turut menyuarakan amaran.

“Dia mesti berhati-hati agar semangatnya untuk kempen-kempen ini tidak akan membiarkannya untuk diheret ke dalam kancah politik. Untuk terus hidup, monarki mesti sentiasa neutral sama sekali,” ia menyebut dalam satu tulisan pengarang. — Reuters

Advertisement