Anda di sini

Beluran dilanda angin kencang

Advertisement

Enam rumah rosak di Kg Air dan Kolapis, lebih lima kes pokok tumbang    

BELURAN: Angin kencang yang melanda sekitar pekan Beluran pada petang Selasa, menyebabkan enam rumah mengalami kerosakan dan lebih lima kes pokok tumbang dilaporkan.

Pegawai Kebajikan daerah Beluran, Asmad Nasir berkata enam keluarga yang mengalami kerosakan struktur khasnya di bahagian atap/bumbung rumah ialah tiga keluarga di Kampung Kolapis Darat, dua di Kampung Air dan satu di Kampung Buang Sayang Muanad 3, dekat sini.

ASMAD Nasir (tengah) ketika meninjau salah sebuah rumah yang rosak teruk di Kampung Kolapis Darat Beluran akibat angin kencang.
ASMAD Nasir (tengah) ketika meninjau salah sebuah rumah yang rosak teruk di Kampung Kolapis Darat Beluran akibat angin kencang.

Katanya, kejadian angin kencang dan hujan lebat yang berlaku kira-kira jam 2.40 petang (Selasa) bukan sahaja menyebabkan kerosakan rumah penduduk kampung terbabit, tetapi turut menyebabkan lebih lima kes pokok tumbang.

Menurutnya, keluarga mangsa yang terjejas bencana itu telah diberikan bantuan makanan oleh pihak Jabatan Kebajikan daerah Beluran secara ‘one-off’ pada petang Rabu, selain bantuan bahan binaan iaitu atap zink antara 30 hingga 50 keping mengikut tahap kerosakan untuk memperbaiki rumah yang rosak akibat bencana itu.

KEADAAN sebuah lagi rumah di Kampung Kolapis Darat Beluran yang sebahagian atapnya diterbangkan angin kencang, petang Selasa lalu.
KEADAAN sebuah lagi rumah di Kampung Kolapis Darat Beluran yang sebahagian atapnya diterbangkan angin kencang, petang Selasa lalu.

Seorang mangsa dari Kampung Kolapis Darat, Haji Aliakbar Manggol, 73, berkata kejadian kira-kira 2.31 petang itu menyebabkan rumahnya mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung.

Katanya, kejadian angin kencang bersama hujan lebat yang berlaku hampir 10 minit itu turut mengakibatkan pokok tumbang yang hampir menimpa rumah penduduk kampung.

“Kami terkejut apabila angin kencang tiba-tiba menerbangkan atap tengah rumah kami,” kata Mat Salleh Baudingau, 44, dari Kampung Buang Sayang Muanad 3, Beluran.

Katanya, ketika kejadian, mereka sedang berehat di rumah bersama isteri dan tiga orang anak  

“Saya terus mengambil anak kecil kami yang berumur satu tahun sembilan bulan dalam ayunan (buaian) dan kami cepat-cepat bergegas turun ke bawah untuk keluar menyelamatkan diri,” katanya menceritakan detik mencemaskan itu.

Bagaimanapun, mereka bersyukur kerana semuanya selamat tanpa mengalami kecederaan, walaupun rumah mengalami kerosakan agak teruk dan berharap mendapat bantuan dan sumbangan pihak tertentu yang prihatin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Kolapis Darat, Abdullah Gani Abd. Wahab berkata, ia kejadian kedua seumpamanya menimpa penduduk kampung berkenaan selepas kejadian pada 1982.

Katanya, bencana angin ribut berserta hujan lebat itu sebenarnya melibatkan banyak perkampungan lain termasuklah Kg Kolapis Laut, Kg Iran, Kg Pelantong dan juga di kawasan Kg Batu 52 – 54 Ulu Muanad, Beluran.        

KEADAAN sebuah lagi rumah di Kampung Kolapis Darat Beluran yang sebahagian atapnya diterbangkan angin kencang, petang Selasa lalu.
KEADAAN sebuah lagi rumah di Kampung Kolapis Darat Beluran yang sebahagian atapnya diterbangkan angin kencang, petang Selasa lalu.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Beluran turut menerima panggilan kecemasan ekoran kejadian bencana itu khasnya melibatkan kes pokok tumbang yang menghalang lalu lintas.  

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Beluran, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan pertama berhubung kejadian pokok tumbang di Kampung Kolapis Darat kira-kira jam 3 petang.

Katanya, pihaknya menghantar sebuah jentera bersama lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Rosemidian Haji Majid untuk operasi pemotongan batang pokok tumbang dan mengalihkannya dengan bantuan penduduk kampung untuk memulihkan perhubungan jalan raya yang terhalang lebih sejam.

ANGGOTA Bomba Beluran bertungkus-lumus dalam operasi pokok tumbang yang menghalang jalan raya utama di Kilometer 68 Jalan Sandakan-Telupid.
ANGGOTA Bomba Beluran bertungkus-lumus dalam operasi pokok tumbang yang menghalang jalan raya utama di Kilometer 68 Jalan Sandakan-Telupid.

Selain itu, katanya, pihak bomba turut terlibat mengadakan operasi pokok tumbang di beberapa lokasi lain termasuklah di Jalan IPD Beluran berhampiran rumah kediaman Pegawai Daerah Beluran, di Kampung Muanad 1 dan juga satu kes jeti tumbang di Kg Kolapis Laut.

Rastam berkata, pihaknya juga turut menerima panggilan kecemasan akibat kejadian pokok tumbang yang menghalang lalu lintas di kilometer 68 Jalan Sandakan-Telupid, kira-kira jam 10.40 malam Selasa.

Katanya, pihak bomba Beluran menghantar lapan anggota yang juga diketuai Rosemidian dan tiba di lokasi kejadian pokok tumbang pada 11.27 malam.

POKOK tumbang yang turut menghalang laluan jalan raya dan hampir menimpa rumah penduduk di Kampung Kolapis Darat, Beluran.
POKOK tumbang yang turut menghalang laluan jalan raya dan hampir menimpa rumah penduduk di Kampung Kolapis Darat, Beluran.

“Pokok tumbang yang menutup laluan jalan raya utama itu berlaku ekoran angin kencang yang melanda dan operasi ditamatkan jam 12.29 tengah malam,” katanya sambil menjelaskan saiz pokok tumbang dianggarkan selebar 4 kaki lilitan itu turut menyebabkan kerosakan bonet depan sebuah kenderaan yang terkena serpihan dahan pokok tersebut.

Menurutnya, kesesakan lalu lintas berlaku sejauh kira-kira tiga hingga empat kilometer di kedua-dua hala ekoran jalan raya tidak boleh dilalui akibat ditimpa pokok yang tumbang itu.
Katanya, keadaan lalu lintas hanya dapat dipulihkan selepas operasi memotong, mencantas dan mengalihkan pokok tumbang selesai dijalankan oleh anggota bomba Beluran.

  • oleh
  • Advertisement