Anda di sini

Ayah dan dua anak didakwa

Advertisement

Rogol kanak-kanak perempuan 12 tahun di Papar

KOTA KINABALU: Seorang ayah bersama dua anak lelakinya dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan.

Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh yang masing-masing berusia 57 tahun, 35 tahun dan 19 tahun mengaku tidak bersalah, di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Mereka didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun 11 bulan, pada hujung Mac hingga April 2017 antara jam 4 petang hingga tengah malam, di sebuah rumah kampung, daerah Papar.

 

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan, penjara tidak kurang sepuluh tahun dan tidak melebihi tempoh 30 tahun serta sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwarayan Dinesh Raja membantah ikat jamin diberikan kepada ketiga-tiga tertuduh, dengan mengambil kira pertalian antara mereka dan mangsa.

Menurutnya, salah seorang tertuduh dalam kes terbabit adalah datuk angkat kepada mangsa.

"Kesalahan yang dilakukan serius dan mangsa sudah melahirkan seorang bayi," katanya.

Peguam Farazwin Haxdy memohon agar jaminan diberikan kepada ketiga-tiga tertuduh, dengan mengambil kira tertuduh pertama sumber ekonomi kepada keluarganya.

Manakala tertuduh kedua sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, sementara tertuduh ketiga seorang pelajar dan menuntut di sebuah institusi kemahiran.

Tambahnya, mangsa dan semua tertuduh tidak mempunyai kaitan biologi, yang mana mangsa hanya cucu angkat kepada tertuduh pertama.

"Mangsa dan semua tertuduh tidak tinggal di rumah yang sama atau berdekatan. Oleh itu, tidak timbul isu mengganggu mangsa," katanya.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 1 hingga 4 Oktober terhadap tertuduh pertama, manakala 15 hingga 18 Oktober untuk tertuduh kedua dan 8 hingga 11 Oktober untuk tertuduh ketiga.

Tiada jaminan dibenarkan dan Noor Hafizah memerintahkan mereka direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah sehingga kes selesai.

  • oleh
  • Advertisement