Anda di sini

e-cemetery permudah pencarian lokasi pusara di Tanah Perkuburan Samariang

Advertisement
 Abang Johari (empat kanan) melakukan simbolik perasmian web e-cemetary pada majlis di pekarangan Masjid Jamek Negeri semalam.  — Gambar Chimon Upon
SIMBOLIK: Abang Johari (empat kanan) melakukan simbolik perasmian web e-cemetary pada majlis di pekarangan Masjid Jamek Negeri semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) melancarkan web e-cemetery semalam bagi memudahkan pencarian lokasi pusara di Tanah Perkuburan Samariang.

Perasmian web tersebut disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pekarangan Masjid Jamek Negeri di sini disusuli pengagihan bubur Masja-Sa.

Pengurus Besar LAKMNS Mohamad Sabry Othman berkata, web ini boleh digunakan dengan melayari laman web sesawang e-cemetery.sarawak.com.my.

Antara fungsi web ini ialah untuk memudahkan pencarian lokasi pusara jenazah yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang dengan hanya menaip nama atau nombor kad pengenalan si mati.

“Tanah perkuburan yang seluas 62 ekar ini menempatkan sebanyak 15,222 pusara dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat.

“Diharapkan, web ini akan dapat membantu masyarakat Islam mencari lokasi pusara ahli keluarga mereka yang ditempatkan di tanah perkuburan ini,” katanya.

Web tersebut dibangunkan oleh LAKMNS dengan kerjasama Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS).

Pembangunan web ini juga adalah bertepatan dengan inisiatif Ketua Menteri memperkenalkan dasar ekonomi digital Sarawak.

Bercakap mengenai pengagihan bubur tersebut, ia merupakan acara tahunan LAKMNS sempena bulan Ramadan.

Lebih daripada 2,000 bungkusan bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa.

Pada majlis itu, LAKMNS turut menyampaikan sumbangan derma masjid, surau dan sekolah serta derma Ramadan kepada 2,098 orang pelajar yang kurang mampu dan anak-anak yatim.

Advertisement