Anda di sini

Dua sahabat bebas tuduhan membunuh lelaki Filipina

Advertisement

SHAH ALAM: Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang pasti sangat bererti buat dua sahabat selepas mereka semalam dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh seorang lelaki warga Filipina oleh Mahkamah Tinggi di sini, tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Datuk Ghazali Cha memutuskan untuk membebaskan Saffry Affendy, 41, dan Mukhlis Bakar, 44, selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Saffry, bekas anggota polis dan Mukhlis, buruh kontrak diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahathir Mohd Khairudin.

Dalam penghakimannya, Hakim Ghazali antara lain menyentuh tentang keraguan terhadap identiti si mati, iaitu terdapat dua identiti melibatkan mayat yang sama.

Berdasarkan keterangan seorang daripada saksi, salah satu identiti itu adalah milik seorang lelaki yang masih hidup di Sabah serta mengalami sakit mental dan perkara ini disahkan oleh pegawai penyiasat yang telah mengambil keterangan daripada adik individu terbabit.

Selain itu, mahkamah juga mendapati kegagalan mengemukakan beberapa saksi material seperti adik individu yang dikatakan mempunyai identiti sama dengan si mati, turut menjejaskan kes pihak pendakwaan.

Sebanyak 14 saksi pihak pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula tahun lepas.

Saffry dan Mukhlis didakwa bersama-sama membunuh Hakim Asamad di Lot 1354, Off Jalan Sungai Jati, Jalan Kampung Jawa, Klang, kira-kira jam 12.30 tengah malam, 25 Ogos 2014.

Mayat mangsa yang ditetak di bahagian leher ditemukan di tempat pembuangan sampah di Klang.

Dua sahabat itu yang ditangkap pada 10 Sept 2014, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement