Anda di sini

APMM tahan pam bot tiada nombor pendaftaran

Advertisement

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah pam bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran di perairan Pulau Mengalum di sini.

Pengarah Maritim Kota Kinabalu Laksamana Pertama Adam Aziz berkata bot nelayan yang turut dipercayai memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bom ikan ditahan semasa anggotanya menjalankan Op Sejahtera pada Khamis.

SEBAHAGIAN hasil tangkapan di dalam pam bot yang ditahan.
SEBAHAGIAN hasil tangkapan di dalam pam bot yang ditahan.

Katanya maklumat awal diterima daripada warga maritim mengatakan bot berwarna biru dan putih dipercayai melakukan aktiviti pengeboman ikan dan memasuki kawasan Pulau Megalum.

"Sebaik dihampiri kira-kira jam 4 petang, dua kru dalam lingkungan umur 20 hingga 35 tahun berada di dalam bot dan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri sah.

"Siasatan lanjut mendapati terdapat kira-kira 70 kilogram ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom ikan di dalam bot yang tiada lesen pendaftaran itu," katanya.

Menurutnya kedua-dua kru dan pam bot ditahan dan dibawa ke Pulau Mengalum untuk siasatan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 untuk kesalahan tiada dokumen.

Sementara itu katanya sejak Op Api 1 dilaksanakan sejak 22 Mac lalu pihaknya merekodkan enam tangkapan pam bot yang melakukan aktiviti bom ikan.

PAM bot dibawa ke Pulau Mengalum untuk tindakan selanjutnya.
PAM bot dibawa ke Pulau Mengalum untuk tindakan selanjutnya.
  • oleh
  • Advertisement