Anda di sini

Ibu bapa, guru dan masyarakat perlu seiring

Advertisement

LAHAD DATU: Hari Guru disambut setiap tahun pada pada 16 Mei. Ini kerana pada 16 Mei 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dengan adanya dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) ianya telah diangkat menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Semenjak itu, perkembangan dasar telah memberi sinar pada pembinaan bangsa dan negara seterusnya pengikhtirafan peranan guru menjadi amat penting untuk mencapai matlamat kemajuan melalui pendidikan.

RAHMAN.
RAHMAN.

Seorang guru, Rahman Kaharuddin, 33, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lahad Dati 2 berkata, masyarakat terutama ibu bapa mempunyai peranan masing-masing dalam menterjemahkan sokongan dan peranan mereka untuk menghargai sumbangan guru.

Aspek pembentukan akhlak, menurutnya, adalah perkara utama dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran.

"Lebih utama lagi, terjemahan sokongan dari segi bukan sekadar melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada guru tetapi perlu bersama-sama guru dalam proses membentuk akhlak anak-anak mereka," katanya.

Kata Rahman lagi, masyarakat perlu membantu guru dalam apa juga aktiviti yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran sama ada di dalam mahupun di luar kelas kerana kerjasama erat yang terjalinakan memudahkan lagi keberhasilan modal insan di kalangan pewaris bangsa dan negara.

Seorang ibu, Norhafizah Salwati Abdul Rahim, 32, berpendapat sambutan Hari Guru yang disambut anak-anaknya di sekolah memberi makna yang besar kepadanya sekeluarga.

NORAFIZAH.
NORHAFIZAH.

Menurutnya, ia umpama hari menghargai guru kepada anak-anaknya yang menuntut ilmu demi perubahan masa depannya.

Katanya, penghargaan sempena Hari Guru sebenarnya diterjemahkan keluarganya lewat doa-doa pada setiap kali mengerjakan solat.

Ianya diturut dizahirkan melalui ucapan terima kasih anak-anaknya di sekolah.

"Saya sentiasa berdoa agar guru-guru anak saya diberi kesihatan, kesenangan, keberkatan dan sentiasa dipermudahkan kerja-kerja mereka untuk melaksanakan tugas mendidik anak-anak saya.

"Saya selalu berpesan kepada anak-anak saya untuk mematuhi arahan guru mereka, selalu menghormati mereka kerana kejayaan menuntut ilmu datangnya dari kesungguhan murid-murid yang mahu berubah menjadi lebih baik," katanya.

Norhafizah menyedari tugasan hariannya sentiasa menghadkannya untuk mendampingi anak-anaknya sepanjang masa namun dia sedaya upaya memenuhi masa berharganya demi memastikan proses pembelajaran berlangsung dengan baik dan teratur.

"Selain keperluan persekolahan, saya setiasa memantau perkembangan pembelajaran dan aktiviti anak-anak saya dengan pelbagai pendekatan dan cara.

"Saya sedar, cabaran pendidikan sekarang begitu mencabar dan dengan keprihatinan saya dan suami, kami akan bergilir-gilir menjadi pemantau pada perkembangan mereka di sekolah dan juga di rumah," katanya.

BASRIN
BASRIN

Menggalas tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru di SK Telisai, Tungku, Basrin Ismail mengakui peranan yang dipikulnya begitu besar namun demi kemajuan anak-anak bangsa dia sentiasa berjuang mengatasi pelbagai rintangan.

Menurut Basrin, rintangan paling besar yang pernah dilaluinya dan masih digalasnya adalah memastikan tenaga pengajar dan pelajar bebas dari trauma insiden pencerobohan Tanduo oleh militan Sulu yang berlaku pada 2013 lalu.

Katanya, selama lima tahun melaluinya dia sebagai "agen penggerak pemulihan" memerah tenaga dan kudrat yang ada untuk terus kuat melalui fasa pemulihan itu.

"Cabaran inilah yang paling berat dan berkat usaha yang tanpa mengenal penat, saya dan jawatankuasa berusaha mengatasinya bukan sahaja di kalangan ibu bapa dan anak-anak malah juga untuk kebaikan dan kelangsungan hidup tenaga pengajar," katanya.

Menurutnya lagi, semangat kerjasama dan keprihatinan PIBG yang dipimpinnya dapat menterjemahkan hasrat penduduk kampung yang mahu mengangkat martabat dan taraf guru dalam masyarakat kerana jasa dan bakti guru telah merubah nasib dan masa depan bangsa.

  • oleh
  • Advertisement