Anda di sini

Atletico mahu dakap trofi Liga Europa buat kali ketiga

Advertisement
 Simeone dijulang oleh para pemain ketika meraikan kejayaan Atletico menjuarai kejuaraan La Liga Sepanyol selepas perlawanan menentang Barca di Nou Camp, Barcelona dalam gambar fail bertarikh 17 Mei 2014. — Gambar Reuters
DETIK BERSEJARAH: Simeone dijulang oleh para pemain ketika meraikan kejayaan Atletico menjuarai kejuaraan La Liga Sepanyol selepas perlawanan menentang Barca di Nou Camp, Barcelona dalam gambar fail bertarikh 17 Mei 2014. — Gambar Reuters

LYON, Perancis: Selepas tewas di final Liga Juara-Juara, Atletico Madrid berazam untuk membuktikan status mereka sebagai pasukan pilihan apabila menentang Marseille di final Liga Europa di sini hari ini.

Atletico tewas di final Liga Juara-Juara kepada Real Madrid pada 2014 dan tewas sekali lagi kepada lawan yang sama dua tahun kemudian.

Tersingkir di pusingan pertama Liga Juara-Juara musim ini amat mengejutkan buat skuad yang diketuai penyerang Antoine Griezmann tetapi mereka harus melupakan kekecewaan itu dengan memburu kejuaraan pada kejohanan kelas kedua di Eropah.

Atletico mahu memburu kejuaraan Liga Europa buat kali ketiga dalam sembilan musim, selepas menang pada 2010 dan 2012, tidak lama selepas Diego Simeone dilantik sebagai jurulatih.

“Kami tidak sabar untuk final,” kata pemain pertahanan, Juanfran ketika memberitahu Radio Marca ketika Atletico memburu trofi yang pertama mereka sejak 2014, apabila memenangi La Liga Sepanyol.

“Dengan Diego banyak yang berubah di Atletico. Semua yang kami ada ialah pengalaman dalam beberapa tahun yang lalu. Saya berharap kami boleh menang kali ini.”

Ia mungkin yang pertama dan juga kejuaraan terakhir sebagai pemain Atletico buat Griezmann, yang dibesarkan tidak jauh dari kota Lyon tetapi menghabiskan hampir sepanjang kariernya di Sepanyol.

Griezmann menyertai Atletico dari Real Sociedad selepas kejuaraan mereka pada 2014 tetapi mungkin akan ke Barcelona selepas akhir musim ini.

Griezmann dan Diego Costa akan mengetuai serangan Atletico, yang kembali ke Lyon di mana mereka tewas 0-3 kepada Dynamo Kiev pada pertandingan yang sudah dimansuhkan Piala Juara Antara Juara pada 1986.

Atletico mempunyai banyak kekecewaan pada final di Eropah sejak bertahun-tahun seperti Marseille.

Marseille melangkah ke final sebanyak empat kali di Eropah, tewas tiga kali dan menang sekali ketika menewaskan AC Milan pada format sulung Liga Juara-Juara 1993.

Skuad kendalian Rudi Garcia itu tidak dibayangkan akan melangkah sejauh ini selepas memulakan kejohanan di peringkat kelayakan pada bulan Julai.

Tetapi selepas kemenangan ke atas RB Leipzig di suku akhir dan Salzburg di separuh akhir, Marseille dan penyokong fanatik mereka mengimpikan kejuaraan di tanahair mereka.

“Mereka yang memenangi Liga Juara-Juara pada 1993 masih menjadi wira kerana tiada orang lain yang melakukannya selepas itu,” kata Dimitri Payet.

“Kami tahu betapa sukarnya untuk menang. Sudah tentu ia adalah sumber motivasi dan jika kami menang di  final, nama kami akan ditulis dalam buku sejarah kelab untuk selama-lamanya.”

Marseille juga bersaing untuk menamatkan saingan Ligue 1 Perancis di tiga tangga teratas dan kebimbangan di mana keletihan pemain akan menjadi faktor ketika mereka cuba menembusi benteng kebal Atletico.

“Mereka adalah kelab besar, kelab dengan pemain dan jurulatih hebat. Mereka biasa bermain perlawanan besar di Eropah. Mereka adalah pilihan utama untuk menang tetapi kami akan melakukan segala-galanya untuk mencipta kejutan,” kata pemain sayap, Florian Thauvin.

Hanya sekitar 11,500 penyokong Marseille akan dibenarkan hadir tetapi beberapa ribu yang lain akan melakukan kunjungan selama tiga jam ke Lyon.

Pihak berkuasa bersedia untuk tugas sukar dengan permusuhan di antara penyokong kelab Marseille dan Lyon.

Sejak melangkah ke final, penyokong Marseille mengejek Lyon dan presiden mereka, Jean-Michel Aulas dengan sorakan: “Kami akan merosakkan rumah (stadium) anda.”

Seramai 1,250 anggota polis akan dikerahkan ke seluruh bandar raya dan di Stadium Groupama. — AFP

Advertisement