Anda di sini

100,000 penyokong The Citizens membanjiri jalan-jalan sambut perarakan trofi Liga Perdana

Advertisement
 Para pemain dan pegawai pasukan menaiki bas terbuka disambut oleh ribuan para penyokong City yang membanjiri di jalan-jalan di kota Manchester untuk meraikan kejayaan mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris. — Gambar Reuters
MUSIM HEBAT: Para pemain dan pegawai pasukan menaiki bas terbuka disambut oleh ribuan para penyokong City yang membanjiri di jalan-jalan di kota Manchester untuk meraikan kejayaan mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris. — Gambar Reuters

MANCHESTER, England: Dianggarkan 100,000 penyokong Manchester City membanjiri jalan-jalan untuk menyambut perarakan trofi Liga Perdana Inggeris oleh pasukan itu Isnin lepas.

Skuad dan juga pengurus Pep Guardiola menaiki bas terbuka melalui jalan-jalan di kota Manchester selepas satu musim luar biasa dengan pelbagai rekod dicipta.

Hanya penyerang terbanyak kelab, Sergio Aguero, yang menjalani rawatan di tanahairnya di Argentina dan cuba untuk kembali cergas untuk ke Piala Dunia 2018 Rusia dan penyerang David Silva – bersama-sama anaknya yang masih kecil di Sepanyol – tidak bersama-sama dengan pasukan untuk meraikan kejuaraan bersama peminat.

City memenangi kejuaraan dengan bergaya, menjadi pasukan pertama dalam liga utama yang mengutip 100 mata, mencipta rekod baharu gol dengan 106 gol dan juga memenangi kejuaraan liga dengan jurang mata yang besar – 19 – berbanding pencabar terdekat yang juga kelab jiran, Manchester United.

Pemain tengah, Kevin de Bruyne, yang dianggap bintang utama City musim ini, berasa terkejut dengan kehadiran ribuan penyokong.

“Melihat begitu ramai orang mahu menyertai kami meraikan kejuaraan ini adalah sesuatu yang luar biasa,” kata beliau.

“Musim ini cukup hebat dan kami menamatkannya dengan mengutip 100 mata, sesuatu yang sukar dipercayai.

“Semua yang anda menang adalah istimewa tetapi saat seperti ini adalah lebih hebat,” kata pemain antarabangsa Belgium itu.

Perarakan berakhir di medan utama dengan pemain disambut di atas pentas.

Guardiola berkata sekarang bukan masa untuk melihat ke hadapan untuk melihat jika mereka boleh meningkatkan lagi prestasi pasukan.

“Sekarang adalah masa untuk bergembira dengan apa yang telah kami lakukan musim ini,” kata beliau.

“Ia bukan masa untuk bercakap tentang musim hadapan.

“Pada musim panas ini, kita akan menonton Piala Dunia di kaca TV – kita akan bergembira, minum bir dan wain dan menikmati apa yang telah kita lakukan.

“Selepas itu kami akan cuba kembali lebih kuat berbanding musim ini,” tambah beliau. — AFP

Advertisement