Anda di sini

Skuad Ngap Sayot kembali lega benam Pulau Pinang

Advertisement
 

KUCHING: Pengendali Sarawak, Ian Andrew Gillan memuji karektor ditunjuk tiga pemainnya ketika menewaskan Pulau Pinang 1-0 pada aksi Liga Premier di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan malam kelmarin.

Menurutnya, dua pemain import, Mateo Roskam dan Bobby Gonzales termasuk Dzulazlan Ibrahim memperaga semangat juang begitu tinggi meskipun terpaksa bermain dalam keadaan belum cergas sepenuhnya.

“Kita bermain dalam keadaan pincang dengan Mateo, Bobby dan Dzulazlan masih mengalami kecederaan.

“Namun, mereka menunjukkan sikap profesional membantu Sarawak memenangi perlawanan ini,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Jelasnya, trio pemain itu bersama rakan sepasukan lain bermain dengan baik untuk memastikan Sarawak mengutip tiga mata berharga cukup penting.

Mateo muncul wira Ngap Sayot dengan meledakkan jaringan kemenangan pada minit ke-44.

Pelawat turut memiliki beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan pada babak kedua namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan Pulau Pinang.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat masa perlawanan membolehkan Sarawak meraih tiga mata penuh.

Ini merupakan kemenangan keempat Sarawak untuk melonjakkan mereka ke tangga kelima liga dengan mengumpul 15 mata.

Sarawak akan meneruskan kempen menentang Johor Darul Ta’zim II di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 22 Mei ini.

Advertisement