Anda di sini

Levante akhir rekod tanpa kalah Barca

Advertisement

MADRID, Sepanyol: Philippe Coutinho menjaringkan hatrik tetapi gagal membantu Barcelona mengharungi satu musim tanpa kalah apabila dikejutkan 4-5 oleh Levante dalam aksi La Liga Sepanyol Ahad lepas.

Jurulatih Barca, Ernesto Valverde merehatkan Lionel Messi untuk perlawanan kedua terakhir musim itu tetapi kesilapan di benteng pertahanan membolehkan Emmanuel Boateng menjaringkan tiga gol dan dua lagi gol dijaringkan Enis Bardhi pada perlawanan di Stadium City of Valencia.

Juara La Liga Sepanyol dan Copa de Rey itu ketinggalan 1-5 selepas satu jam permainan dan hampir mengelak kekalahan dengan kebangkitan dari gol kedua dan ketiga Coutinho dan satu tendangan penalti Luis Suarez.

Tetapi Levante bertahan untuk kemenangan bersejarah sekali gus menamatkan impian Barca untuk menjadi pasukan pertama di Sepanyol yang menamatkan 38 perlawanan La Liga tanpa kalah.

Selepas seri di tempat sendiri dengan Real Madrid minggu lepas, walaupun bermain dengan 10 pemain pada separuh masa kedua dan membelasah Villarreal, Barcelona hanya kurang dua perlawanan untuk mencipta rekod.

Skuad terakhir mengharungi satu musim tanpa kalah ialah pada 1932 ketika Real Madrid tanpa kalah dalam 18 perlawanan yang melibatkan hanya 10 pasukan.

Ia adalah kekalahan liga pertama Barcelona sejak tewas kepada Malaga pada 8 April tahun lepas dan ketika ia tidak memberi kesan besar kepada kedudukan liga, Valverde mempunyai persoalan yang perlu dijawab, sekurang-kurangnya selepas merehatkan Messi.

“Kami berasa marah kerana gagal mengharungi perlawanan ini dan tidak mempunyai peluang menamatkan musim tanpa kalah,” kata Valverde.

“Tetapi pada satu musim di mana beberapa perlawanan memihak kepada anda dan ada juga yang tidak, saya fikir keputusan ini adalah kejam dalam semua aspek pada musim ini, seperti di Sevilla, kami boleh tewas perlawanan itu.”

Masalah di benteng pertahanan kembali menghantui Barca seperti ketika tewas kepada AS Roma, yang menjejaskan kempen mereka walaupun mendahului 4-1 pada perlawanan suku akhir pertama sebelum Roma menang 3-0 pada perlawanan kedua untuk layak ke separuh akhir dengan peraturan gol di tempat lawan selepas seri 4-4 secara agregat. — AFP

Advertisement