Anda di sini

‘Bidadari’, ‘malaikat’ dan juga ‘paus’ meriahkan Met Gala 2018

Advertisement
KIM KARDASHIAN
KIM KARDASHIAN

PENYANYI Katy Perry datang sebagai malaikat agung, Rihanna berpakaian seperti paus, dan Kim Kardashian adalah dewi emas untuk Met Gala yang diadakan baru-baru ini di New York, iaitu satu malam pertunjukan fesyen berprestij yang mendapat inspirasi daripada agama.

Salib yang bersalut barangan kemas, tudung dan hiasan kepala yang mendapat inspirasi daripada ‘halo’ (lingkaran cahaya di kepala) menguasai permaidani merah, yang digelar anugerah Oscar bagi pantai timur kerana senarai tetamu selebriti di sana dan pakaian yang menakjubkan.

Daripada santo kepada pendosa, tetamu memandang serius tema ‘Heavenly Bodies: Fashion and the Catholic Imagination’ (Badan Syurgawi: Fesyen dan Imaginasi Katolik) di majlis Institut Kostum Muzium Kesenian Metropolitan.

Walaupun segelintir pengulas bimbang tema Katolik itu akan menghasilkan Met Gala paling kontroversi, kebanyakan pelakon, model dan bintang muzik kekal di sisi tatasusila yang betul dalam warna-warna merah, putih, emas dan hitam.

Rihanna, salah seorang hos di Met Gala, berpakaian seperti paus, dengan memakai ‘mitre’ (topi uskup) disaluti barangan kemas yang menarik perhatian dengan gaun mini sepadan dan baju labuh ala kepaderian yang direka oleh Maison Margiela.

Katy Perry memukau dengan sayap putih setinggi enam kaki yang besar dan berbulu burung digabung dengan gaun mini emas Versace yang dipadankan dengan but emas setinggi paras paha.

Met Gala yang dihadiri tetamu jemputan sahaja adalah acara mengutip dana untuk Muzium Kesenian Metropolitan, dan turut menandakan pembukaan pameran fesyen tahunan Institut Kostum.

Pameran pada 2018 menunjukkan bagaimana fahaman Katolik mempengaruhi fesyen dan pereka selama ini dan memaparkan lebih 50 jubah paderi dan barang keagamaan lain dari Vatikan.

Madonna, seorang pembangkit kemarahan penting kepada agama pada peringkat awal dalam karier popnya, kelihatan anggun dalam gaun hitam berlengan panjang, dengan mahkota emas besar, dan tudung muka penuh.

Kim Kardashian, yang muncul tanpa suaminya Kanye West, berpakaian sederhana sahaja dengan gaun labuh ke lantai berwarna metalik emas yang ketat dengan garis leher yang seksi oleh Versace.

Aktres ‘Sex and the City’ Sarah Jessica Parker memilih gaun emas Dolce & Gabbana yang disulami hati suci dan hiasan kepala senario kelahiran yang tinggi.

Jennifer Lopez memilih gaun Balmain, yang belah hingga ke pinggul, dengan salib besar pada bahagian dada dengan deretan kain berbulu burung hitam.

Model Bella Hadid adalah antara mereka yang memilih sisi agama yang lebih gelap, dengan memakai lateks hitam Chrome Hearts dan pakaian kulit binatang dengan sarung tangan hitam yang panjang, dan tudung hitam yang labuh hingga ke lantai.

Pelakon-pelakon, Olivia Munn, Zendaya dan Priyanka Chopra mengenakan pakaian ‘chain-mail’ yang mendapat ilham daripada Perang Salib, manakala bintang ‘Black Panther’ Chadwick Boseman adalah antara beberapa orang lelaki yang memilih kemodenan dengan memakai baju labuh dengan salib-salib bermanik emas, sut yang dihiasi, dan kasut berwarna emas.

Tetamu lain memilih rupa daripada warna putih syurgawi (Dakota Fanning) hingga kepada kuning malaikat (Amanda Seyfried) dan renda hitam yang mendedahkan kulit (Zoe Kravitz). — Reuters

Advertisement