Anda di sini

Sultan Ibrahim minta hormati suara rakyat mahu kerajaan baharu

Advertisement

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar meminta agar semua pihak menghormati suara rakyat yang telah menyatakan hasrat mahukan kerajaan baharu menerusi undian mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berlangsung kelmarin.

Baginda juga mahu kerajaan baharu segera dibentuk bagi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.

“Pada semua rakyat Johor, Bangsa Johor...pilihan raya telah pun berlalu. Saya minta semua menghormati suara rakyat yang mana rakyat hendakkan kerajaan baharu.

“Dengan ini saya meminta kerajaan dilantik serta-merta dan jangan buang masa lagi dan saya harap Istana Negara hari ini (semalam) juga melantik Perdana Menteri yang baharu kerana inilah kepentingan rakyat, bukan kepentingan saya atau kepentingan individu,” titah baginda.

Dalam video berdurasi dua minit yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook Sultan Ibrahim, baginda juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Pakatan Harapan (PH) kerana berjaya mencapai keputusan yang disasarkan.

“Saya juga gembira untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu untuk kebaikan rak-yat,” titah Sultan Ibrahim.

Awal pagi semalam, PH yang merupakan gabungan empat parti politik pembangkang yang baharu dibentuk, menang besar pada PRU14 sekali gus menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.

Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang media sebentar tadi (semalam) berkata PH kini mempunyai 135 kerusi Parlimen selepas meraih sokongan Parti Warisan Sabah dan beberapa parti komponen di Sabah sekali gus membolehkan PH membentuk kerajaan persekutuan.

Selain kerusi Parlimen, PH juga berjaya menawan beberapa negeri termasuk Johor yang menyaksikan PH memenangi 36 kerusi DUN manakala BN dengan 19 kerusi dan PAS satu kerusi. — Bernama

Advertisement