Anda di sini

Proses peralihan kuasa perlu disegerakan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa keselamatan seluruh negara terkawal ketika proses peralihan kuasa sedang berjalan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, proses peralihan kuasa ini perlu disegerakan serta tidak boleh dilengahkan bagi mengelakkan timbul spekulasi yang tidak sihat.

Beliau berkata proses peralihan kuasa ini akan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, beliau telah mengadakan perbincangan khusus dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor selama sejam, petang semalam.

”Kami akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhamamad V dalam masa terdekat untuk menyembah beberapa ketetapan berhubung peralihan kuasa kerajaan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini.

Mohamad Fuzi berkata proses peralihan kerajaan baharu yang dipilih rakyat perlu berjalan dengan lancar dan tersusun.

Ditanya mengenai kekecohan di Putrajaya, kelmarin, katanya, tiada kejadian serius berlaku kecuali satu insiden melepaskan mercun pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata insiden yang berlaku sekitar 2 hingga 3 pagi itu bukanlah secara besar-besaran.

“Terdapat orang ramai yang berkumpul di Putrajaya membawa mercun seolah-olah meraikan (satu) perayaan. Ketua Polis Kuala Lumpur telah mengambil tindakan dengan menyuraikan insiden berkenaan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Katanya, polis dapat menyuraikan perhimpunan itu dalam keadaan baik dan aman. — Bernama

Advertisement